Diusap Sentuhan Tarbiyyah

Tangga-tangga ke syurga perlu didaki dengan mujahadah, bukan keluh kesah!


Leave a comment

Kewajipan mencintai keluarga Nabi SAW

Kecintaan dan Kasih Sayang Kepada Ahlul Baiyt

Kewajipan mencintai keluarga Nabi SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PERARAKAN sempena Maulidur Rasul adalah antara cara memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

——————————————————————————–

RATA-RATANYA masyarakat Islam keliru mengenai apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Kekeliruan ini membuatkan ramai di kalangan kita tidak mahu menyentuh permasalahan mengenai hak-hak Ahli Bait barangkali kerana khuatir terlibat dengan fahaman puak Syiah dan Rafidhah.

Sebahagian yang lain menganggap ia bukanlah suatu permasalahan yang penting untuk diambil berat dan diperbahaskan dengan panjang lebar.

Walau apa pun alasannya, perbuatan dan perkataan salafussoleh serta ulama telah bersalahan dengan pendirian mereka. Pendapat salaf juga menjadi bukti dan hujah bahawa mereka tidak pernah meletakkan perbahasan mengasihi Ahli Bait sebagai perkara sampingan dan hal remeh-temeh.

Sebabnya, mereka sedar dengan sebenar-benar kesedaran bahawa mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW adalah perintah yang wajib dijunjung walau di mana mereka berada.

Secara umumnya perintah memulia…

View original post 1,002 more words


Leave a comment

Gelora Hati Bonda II

“Mama masih mahu berteka-teki dengan Kakak?”

Soal Sara, memandang hairan pada ibu yang tekun mencatat barangan keperluan dapur bulanan.

Hujung pena diangkat si ibu. Pandangan anak gadis 26 tahun itu dibalas.

“Tidak mahu berteka-teka, Mama mengharap yang pasti.”

Sara menarik nafas sedalam-dalamnya. Jari-jarinya mengetuk halus pada meja, mencipta satu irama yang tidak bermakna.

“Ma, Kakak tidak perlukan sesi tanya-jawab begini. Kakak lebih perlu kepada doa. Ma doalah untuk Kakak.”

Ujar Sara lembut dalam kesungguhan.

Apa agaknya fikiran Mama dalam soal ini? Sukar benarkah Mama mahu memahami keadaan Sara?

Soalnya pada diri.

“Kakak sendiri sudah banyak berdoa bukan?”

Sara menghela nafas. Dia bangun dari tempat duduknya.

“Pasti ada beza doa kakak dan doa ibu.”

Jawab Sara ringkas sambil membetulkan letak kerusi yang didudukinya.

“Doa satu perkara. Usaha kakak pun satu perkara. Mengelak daripada membuat sebarang usaha dan lari daripada membuat keputusan tidak akan membuka jalan. Kalaupun semua penduduk dunia ini mendoakan kakak, tetap tidak akan membuahkan apa-apa tanpa kakak berbuat sesuatu.”

Ujar Mama Sara sambil pandangannya masih tunduk pada kertas catatan.

“Apa sebenarnya yang menghalang Kakak?”

Ibu Sara mengalih posisi badannya menghadap Sara yang baru saja melabuhkan dirinya pada sofa tidak jauh dari si ibu.

“Apa harapan Mama daripada perkahwinan Kakak?” Pandangannya menghala pada televisyen yang tidak bersiaran.

Kebaikan. Sudah tentu Mama mahukan kebaikan. Mama mahukan kebaikan untuk anak Mama melalui perkahwinan. Mama juga berharap supaya kebaikan yang ada pada diri Kakak dapat ditumpahkan pada orang lain – pada suami, keluarga mertua, anak-anak Kakak nanti…”

“Kakak ada cita-cita. Lalu tidak mahukah anak kesayangan Mama ini mencapai cita-citanya melalui jalan perkahwinan. Tentu lebih mudah malah lebih baik kesannya nanti. Mama percaya.”

Sara terasa hendak menangis. Diurut-urut sisi belakang kepalanya yang berdenyut halus.

“Bagaimana kalau selepas berkahwin, kemahuan hendak belajar bertambah sukar?”

Ujar Sara. Matanya separuh terpejam menahan sakit pada sisi belakang kepala.

“Pilihlah yang belajar juga. Paling tidak pun yang sama cintakan ilmu! Senang hati Mama kalau Kakak sudah berteman ke majlis ilmu. Tidaklah liar ke sana ke mari berseorangan.”

Ibu Sara ketawa kecil, cuba meredakan ketegangan pada riak wajah anak gadisnya.

“Kalau masih belajar tentu belum mampu berkahwin.” Dalih Sara.

“Perkahwinan bagaimana yang Kakak mahu? Kalau turutkan kehendak, memang tidak mampu. Cukuplah mematuhi syarak dan matlamat perkahwinan.”

Aduh, Sara terasa seperti dicucuk pada hulu hati. Ya tak ya juga, detik hati Sara. Menanglah Mama ni.

Tidak mahu kalah dengan hujah si ibu, Sara mencari dalih lain. Dia diam sejenak, merawat bisa dicucuk ayat ibunya sendiri.

“Selepas berkahwin, zuriat pula…”

Sara menoleh si ibu, diangkat kedua-dua keningnya seolah-olah meminta jawapan baik dari ibu yang pintar.

“Hatta di masjid pun ada yang mengendong anaknya, inikan pula majlis ilmu!” Si ibu ketawa. Sudah mulai faham rentak permainan Sara.

Sara menggaru kepala. Tidak gatal. Denyut-denyut di belakang kepala bertandang semula.

Sara ikut ketawa.

“Sara belajar lagi Ma. Tentu sukar nak bantu suami nanti.” Ujarnya, menghabiskan tawa yang masih berbaki.

Si ibu menahan geli hati melihat gelagat anak gadisnya.

“Berbelanjalah mengikut mampu Kak. Bila sudah hidup berteman, tentu akan tahu cara mengurus kewangan. Tidak sukar jika kedua-duanya faham antara keperluan dan kehendak.”

“Em.. ya lah, Ma. Kalaulah sebaik yang Mama bayangkan.”

“Mengapa tidak? Allah janji akan perkenankan doa setiap hamba yang meminta daripadaNya. Bukankah kita meminta semua yang baik dari Allah?”

Makin galak ketawa Sara. Dia sendiri tidak pasti akan yang begitu melucukan bagi dirinya. Dia cuma mahu ketawa. Menyembunyikan debaran menyambut hajat ibu yang dicinta.

“Lekaslah. Calon pun sudah Mama usulkan.” Ucap si ibu selamba.

Sara terdiam sebentar. Sejenak dia membayangkan calon yang diusulkan si ibu, dia menyambung ketawa, bangkit dari sofa dan meninggalkan si ibu dengan tanda tanya.

Ketawanya, apakah tanda suka atau ada rahsia yang belum aku ketahui. Mudahkanlah, Tuhan.

Doa ibu Sara.

 

 

 

 


Leave a comment

Wasiat: Menjelang 26 Tahun di Bumi Illahi

Ditulis pesan-pesan ini khas buat diri. Dirakamkan di sini untuk ingatan kemudian hari atau jika ada yang mahu sama-sama berkongsi, mahu sama-sama peduli pada proses peningkatan iman dan amal, mahu mengambil manfaat daripada perjalanan diri yang serba kurang dalam usaha mengenal dan mendekatkan diri pada Illahi.

Saidatul Faiqah Samasu,
Semoga berada dalam lindungan rahmat Tuhanmu.

26 tahun di bumi Illahi, maka ambillah pesan-pesan ini, mulakanlah langkah mewatakkan peribadi. Pesan-pesan ini hakikatnya hasil kutipan sepanjang perjalanan, perolehan sepanjang melalui fasa-fasa dalam kehidupan, bertemu dengan betapa banyaknya ragam dan rencam. Bila mana dirimu terasa jauh daripada Illahi, jadikanlah pesan-pesan ini sebagai antara asbab untuk tafakkur kembali tentang makna penciptaan, tentang makna kehidupan.

Saidatul Faiqah Samasu,
Ini dicatat demi dirimu.

Tinggalkanlah segala yang sia-sia
yang tidak bermanfaat untuk masa depan akhiratmu.

Tinggalkanlah sumber rezeki yang syubhat lagi haram
Itu lebih baik untukmu.

Tinggalkanlah rancangan hiburan yang melebihkan ketawa, mendahulukan ‘aib daripada iktibar
Itu lebih baik untukmu.

Tinggalkanlah segala yang lazat
tetapi tidak jelas halalan toyyiban
Itu lebih baik untukmu.

Berpalinglah daripada melihat yang haram
jika memandang Allah itu keinginanmu.

Berpalinglah daripada mendengar yang haram
jika ‘Wad Khulii Jannati!” itu kalimah yang kaunanti.

Sedikitkan ketawa.
Banyakkan bersedekah pada senyuman.

Sedikitkan tidur.
Banyakkan sujud pada pekat malam.

Sedikitkan makan.
Banyakkan puasa yang memelihara.

Belajar.
Belajar.
Belajar.
Belajarlah apa-apa yang bermanfaat
mendatangkan rahmat
menjemput redha dari Rabbmu.

Baiki hubungan dengan ibu bapamu
dengan ibu ayah tirimu
dengan adik-beradik tirimu
sahabat kenalan
saudara-saudara
jiran tetangga.

Jaga diri.
Jaga pandangan.
Jaga kemaluan.

Pelihara malumu.
Pelihara adab dan akhlakmu.

Tuhanmu, Allah yang satu.
Nabimu, Muhammad Rasulullah s.aw.
Al-Quran dan sunnah panduanmu.
Jihad jalanmu.
Syahid di jalan Allah adalah cita-citamu.

Berdoalah.
Mintalah dari Allah tanpa kausekutukanNya dengan apa pun.
Mintalah hati yang tenang.
Dada yang lapang.
Rezeki yang barokah.
Sihat dan kelapangan.
Mudah dalam urusan.
Ilmu yang bermanfaat.
Guru yang benar.
Sahabat yang soleh solehah.
Pasangan keturunan penyejuk mata.

Bertahanlah.
Dunia bukan tempat tinggal.
Akhiratlah kampungmu yang kekal.


Serdang.
Dhuha,
17 Syawal 1435H


Leave a comment

Gelora Hati Bonda I (Bersambung…)

“Rasanya kakak perlu fikir-fikirkan seorang pembantu.”

Sara terdiam. Menelan baki pau kukus bersama dengan kata-kata si ibu, terasa sukar. Tidak dibalas pandangan si ibu. Malu, kaku, sebak – semua rasa itu bercampur.

Si ibu merenung wajah anak gadisnya. Dia mengerti. Mungkin terlalu tiba-tiba pernyataan itu dilontar atau mungkin tidak kena masa dan penyampaiannya. Tetapi bila lagi? Fikirnya. Malah ini bukan kali pertama, anak gadisnya itu ditanya tentang pembantu. Sudah beberapa kali dirisik oleh saudara-mara, kalau-kalau sudah ada bunyi-bunyi mahu berteman.

“Atau kakak memang berhajat mahu bersendirian sampai ke tua?” Duga ibu.

Sara masih diam. Tangannya mencapai tisu merah pudar di sisi kanan meja. Diusap perlahan tisu pada sisa kuah kari ayam yang tertumpah pada meja. Belum berani dia membalas pandangan ibu. Bolehkah dibiar sahaja soalan ini berlalu? Apa ibu memang perlukan jawapan? Sara berdialog dengan diri. Diketap bibir mengharap debar dalam dada hilang digantikan rasa tenang. Tidak juga.

“Kakak…” Panggil ibu lembut. Sara menghela nafas.

“Kakak nak belajar lagi.” Jawab Sara. Perlahan benar.

“Sampai PhD?” Tanya ibu. Tangannya menongkat dagu.

“Sampai puas.” Dikuis-kuis pau kukus berbaki di dalam piring kaca. Compang-camping satu bahagian pau kesan cubit-cubit Sara.

“Jadi antara waktu belajar ini kakak tidak fikirkan tentang berkahwin?”

Berkerut dahi ibu Sara. Tidak senang duduk dia memikirkan jawapan Sara. Apa yang anak ini impikan sebenarnya? Soalnya dalam hati. Direnung jari-jari anak gadisnya yang mencubit pau kukus dalam piring kaca. Bertaburan serpihankecil-kecil pau kukus pada ruang piring yang sebahagian.

“Yang perlukan pembantu tidak cuma kakak, tetapi adik-adik, malah Mama pun perlu. Mama tak kisah siapa pun yang kakak pilih, kaya mana keluarganya, tinggi mana pelajarannya baik dalam bidang kedoktoran atau kejuruteraan. Yang penting, boleh sama-sama bantu kakak bimbing adik-adik, bimbing anak-anak – itu sudah memadai.”

Ibu Sara menahan rasa sebak di dalam dada. Memberitahu apa yang sebenarnya dia mahukan daripada calon suami Sara, inilah kali pertama. Memang sebelum ini pun dia sudah memberitahu Sara bahawa dia mahu Sara menemui bukan sahaja suami yang soleh, tetapi pembantu dalam urusannya yang sekalian banyak, tidak tertanggung jika keseorangan. Kasih ibu Sara tumpah pada sentuhan tanggannya yang mula singgah pada tangan Sara.

Mengalir air mata anak gadis itu. Satu titis demi satu titis mengenai birai meja lalu tumpah sedikit pada tudung. Diseka segera. Malu.

“Tidak mungkinkah belajar apabila sudah berkahwin, kak? Boleh kan jika orang yang kakak pilih itu pun sama-sama cinta pada pelajaran?” digenggam lembut tangan Sara.

“Kakak nak belajar lagi, Ma. Dekatnya rasa dengan Allah apabila belajar. Kakak takut, jika berkahwin hanya akan menjauhkan kakak daripada rasa ini. Kakak takut bila sudah ada pembantu nanti, kakak jadi lemah. Kakak takut bila sudah ada pembantu nanti, kakak sudah lupa bagaimana mahu bersendiri, mahu berdikari. Yang paling kakak takut, yang kakak temui hanya suami, bukan pembantu seperti yang Mama mahu.”

“Apa yang Mama mahu tidak semestinya yang terbaik,Kak. Apa yang Mama mahu hanya terbit daripada keperluan. Kakak selalu kata, semua perkara berbalik kepada rahmat Allah. Allah-lah yang akhirnya memberi ketetapan. Sama ada apa yang Mama mahu ini akan Allah berikan atau sebaliknya, Allah-lah yang punya kuasa.

Tetapi kuasa Allah ini tidak menyekat anak Mama untuk berusaha mencari yang sesuai kan? Apa yang kakak takutkan itu cuma sangka-sangka yang kakak sendiri tidak pasti akan terjadi atau tidak. Pilihlah yang benar, jangan pilih yang olok-olok. Pilihan yang benar inshaa allah akan menyelamatkan kakak daripada ketakutan yang kakak sangka.”

Berderai air mata Sara jatuh menuruni pipi. Tidak larat lagi mahu diseka. Dibiar seketika air mata menghujani, melimpah dari takungan kekeliruan dalam dada yang berombak garang. Hati Sara rasa letih. Pandangannya rasa letih. Jasadnya rasa letih. Pau kukus tidak lagi menarik nafsu makan yang tadi benar-benar berkeinginan. Tidak pernah ada yang mencabar pendirian dalam soal berteman sebelum ini. kerana setiap kali dia memberikan alasan cintanya lebih mengutamakan ilmu dan pelajaran, setiap kali itulah perbualan berkisar teman dan pernikahan bernoktah. Hari ini, alasannya dipatahkan. Lebih sarat untuk ditanggung apabila yang mematahkan alasan adalah ibunya sendiri.

Mahu saja Sara bangun dan keluar daripada restoran itu. Kalau diikutkan hati segera saja dia mahu bangkit, berlari terus ke muka pintu, meninggalkan ibu dan hajatnya mahu bermenantu yang seperti itu dan ini. tetapi kaki, tangan, jasad dan hati Sara seperti dikunci oleh rantai air mata dan kesedihan yang tidak dapat dikiaskan dengan apa-apa.

“Segeralah berlalu, wahai masa. Aku tidak mahu lagi berada dalam dimensi perbualan ini” Ronta hati Sara.

 


Leave a comment

Hari guru.

Hari untuk mengulang ingat ketabahan guru yang menggalas beban amanat, mengendong impian mahu berjaya seorang pelajar dan ibu bapa.

Hari guru buat pelajar ialah hari untuk menguatkan semula ingatan pada kenangan menimba ilmu dari tiada kepada ada.

Tidak itu saja, hari guru ialah masa untuk menyegarkan niat bahawa ilmu ini dicari bukan kerana dunia semata, malah bekalan akhirat yang menjadi destinasi semua. Hari gurulah juga masa untuk menyemak semula hala dan matlamat kehidupan – yang tidak lain hanyalah untuk beribadah kepada Yang Maha Menciptakan, melalui timbunan ilmu yang jika ditulis pada lembaran, akan keringlah lautan.

Hari guru bukan sekadar mahukan ucapan seperti mana hari-hari yang lain, lebih dari itu hari guru perlu kepada manusia untuk duduk bertafakur, menimbang semula letak ilmu yang sudah ditimba – hendak dibawa ke mana, demi siapa? Dan ilmu yang banyaknya di dalam dada, jika tidak menambah takwa pada Yang Esa, tidakkah percuma?

Semoga hari guru ini menambah ketagihan kita pada ilmu yang bermanfaat. Tumpah dari tangan-tangan guru yang selalu sedia memenangkan, datang dari satu sumber yang selalu sedia menyaksikan. Baik pelajar cemerlang atau biasa-biasa cuma, hari inilah harinya. Guru-guru patut disantuni, Rabbmu patut dipuji.

Wahai Tuhan
Saksikanlah cinta kami kepada guru-guru kami
Jadikanlah cinta ini asbab kepada turunnya rahmatMu
Sebagai asbab ditambahkan ilmu dan kefahaman yang dalam

Dan dariMu jualah, Tuhan
Segala ilmu ini datang
KepadaMu jualah ia akan dikembalikan.


Leave a comment

Dedikasi Buat Adinda Putera

9 tahun. Kakak tahu ulang tahun kelahiran adinda. Kakak ingat. Mama juga ingat. Semua ingat. Sudah 9 tahun usia adinda. Tidak sedar, sudah 9 tahun juga jauh dari keluarga. Jauh…
2005. Kakak tingkatan 5. Kakak ingat lagi. Besar benar perut mama. Bengkak kaki mama. Semua urat hijau jelas kelihatan pada kaki mama. Dari paha sehingga buku lali. Seksa. Seksa melihat mama berjalan dalam keadaan sakit begitu. Lebih menyiksakan apabila mama masih tetap mahu berniaga.

Jualan kuih-muih sengaja mama lebihkan, supaya olehnya nanti harap-harap mencukupi untuk belanja makan minum kakak dan adik-adik, buat keperluan dapur dan bekal sekolah. Buat beli nutrisi tambahan dan pemeriksaan kesihatan adinda juga. Apatah lagi, tahun itu perlu dibayar yuran periksa kakak. Mama buat kuih dari malam untuk jualan esok siangnya. Seminggu sekali, mama ambil upah membersih rumah tauke cina di hujung kampung. Mama panjat tangga tinggi, bersihkan tingkap rumah Nyonya, buang sarang labah-labah, sapu debu pasir. Dan setiap kali pulang ke rumah, mama selalu tersandar letih. Tapi mama tidak pernah mengeluh. Kakak selalu nampak tangan mama mengusap lembut pada perut. Berbisik dengan adinda. Kasihnya mama…

Mama tidak pernah rehat dari kerja-kerja biasa hatta pada hujung hari kandungan. Kisahnya, mama mahu 9 bulan itu diisi penuh bersama adinda, membuat aktiviti kegemaran mama, melakukan kerja biasa.

Kata mama, biar adinda tahu erti susah payah seorang ibu. Biar adinda satu hari nanti, apabila bertemu kesusahan, tidak mudah alah. Allah, kasihnya mama… Mama mahu mendidik adinda menjadi anak yang tabah, gagah menghadap ujian dalam hidup masa depan. Apakah adinda sudah membesar sebagai si soleh yang mama hajatkan?

Mama, Allah saja tahu apa yang ada dalam hatinya waktu itu. Allah juga tahu apa ada di hati kakak dan adik-adik yang lain.Ketika beralih tangan dari mama kepada Ibu Liza, beralih juga air mata mama dari dalam dada tumpah menuruni pipi mama, pipi kakak, pipi adik-adik yang lain juga. Allah, sakitnya menerima perpisahan kita, adinda. Andai mahu diulang saat itu, pasti kakak enggan. Dan adinda Syahira yang lebat sekali tangisannya. teresak-esak buat beberapa masa mengenang adinda. Pasti, tangisan mamalah yang paling lantang di depan Tuhan walau dari riak wajahnya tidak melukis sebarang kesan kesedihan. Pedihnya mengenang…

Yang lebih menyakitkan apabila janji ibu Liza tidak ditunai. Apakah bahagia itu sukar sekali didapati dengan cara yang baik?

Kakak sedih. Mama juga. Malah seluruh keluarga sedih mengenang jauhnya adinda dibawa pergi oleh Ibu Liza. Dan mama, sehingga hari ini, tidak dapat mendengar nama adinda disebut. Adinda tidak meniti di bibir mama, tetapi menari di hatinya. Kakak pasti.

Cukup mengintai adinda dari jauh saja sudah membahagiakan. Cukup tahu adinda sihat dan sudah begitu lincah membesar menjadi permata Ibu Liza dan Papa Syafiq. Lebih dari itu, kakak mohon doa agar adinda terdidik menjadi mujahid fiddin, diwakafkan demi agama, ditarbiyyah mengenal Allah dan kasihkan nabi junjungan. Lebih juga kakak mohon doa, agar adinda berupaya menjadi imam solat keluarga Ibu Liza, membimbing seluruh keluarga ke jalan yang Allah redha. Siapa tahu, jika adinda hadir dalam keluarga membawa bersama tidak sahaja kebaikan, malah rahmat dan hidayah.

Syahdu hati kakak. Menulis dedikasi ini dengan harapan suatu hari ini akan sampai pada pembacaan adinda Anas. Syahdu hati kakak, setiap kali ulang tahun kelahiran adinda, setiap kali berkumpul semua ahli keluarga – adinda tidak bersama. Apakah sudah sampai pada adinda tentang kakak dan adik-adik yang lain daripada Ibu Liza? Apakah sudah sampai pada adinda tentang mama?

Kesal di hati mama, kesal juga di hati kakak. Namun apa yang sudah diizinkan berlaku ini harap dapat kita fikirkan hikmahnya. Rahsia apakah yang hendak Allah bukakan saat mengizinkan perpisahan ini terjadi? Kakak belum tahu, malah mungkin tidak akan tahu.

Jika Allah tidak izinkan kita bertemu di dunia ini, harapkanlah pertemuan yang indah di akhirat sana. Di mana kita berkumpul saling berdakapan, melepas rindu dan bertukar cinta sayang di depan Tuhan yang menyaksikan.

Jika sampai dedikasi ini untuk adinda, ketahuilah bahawa kasih kakak pada adinda tidak kurang. Tidak lebih juga berbanding adinda kakak yang lain. Ketahuilah juga bahawa kasih mama tidak ada banding taranya buat adinda. Walau hanya disampaikan lewat doa, rasa kasih dan rindu buat adinda selalu bertaut pada hati-hati yang jauh ini. Sampaikah rindu itu pada dirimu, adinda?

Semoga ketabahan yang ada pada mama hinggap pada peribadi, rajin pada adinda Thaufiq lekat pada tangan kaki, kelembutan pada adinda Shafiqa menghias tingkah budi, keceriaan pada adinda Shahira pelengkap hari dan selalu mahu berusaha menjadi lebih baik seperti ayah.

Pesan-pesan kakak ini bawalah dalam perjalanan hari-hari. Bahawa kakak ingin punya Anas yang berani. Berani terbang tinggi bersama impian, berani mengusahakan cita bersama doa berterusan. Kakak ingin punya Anas seperti sahabat nabi. Yang cintanya jatuh tidak pada duniawi. Kakak ingin sekali, melihat Anas, adinda yang membawa panji perjuangan Islam suatu hari nanti. Anas yang disayangi penduduk langit dan bumi.

Kakak ingin sekali.


Leave a comment

Selamat Pulang Teman

Telah berlalu tempoh pencarian

lewat tempoh itu

berkitab penjelasan kau cerna

bermalam kajian kau baca

guru demi guru

da’ie demi da’e

 

Langkah ini jangan berhenti

bila sampai nanti

jangan lupa akhlak murni, amal jariah

Al-Quran jangan lupa baca

solat ditinggal jangan

majlis ilmu kau teruskan

 

Pada waktunya nanti

ujiannya berat, ya

sukar mudahnya, benar akan terjadi

waktu itu nanti

Jangan lupa angkat tangan

bertanyalah tanpa segan

 

Aku hanya memerhati

membantu yang mampu

menghulur andai perlu

khabarkan

dengan izin Allah diusahakan

 

Telah berlalu tempoh keraguan

lewat tempoh itu kupohon maaf kekurangan

kepulanganmu tidak kusambut dengan peluk sayang

tetapi titipan doa dari jauh ini

kuharap akan sampai padamu teman

 

Tetaplah digenggam tali Allah

Allah melihatmu

Allah peduli

 

Dan tetaplah bersaksi bahawa Tuhanku dan Tuhanmu Esa, Satu tiada yang kedua

Dan tetaplah bersaksi bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah

Dan tetaplah bersaksi bahawa Jesus itu pesuruh jua.

 —

Nukilan khusus buat sahabat baik- Agnes, yang sedang membuat persiapan untuk kembali pada fitrah Islam. Mudah-mudahan Allah terus membantumu, membantu aku, membantu kita semua untuk terus tetap dalam hidayahNya. Semoga apa saja yang kautempuh pada saat kembalimu nanti, tidak mengundang jemu untuk sujud pada Tuhan, tidak mengundang tangis yang mematahkan asa dan juang. 

Semoga Allah terus ikat hati kita untuk terus sayang dalam dakapan iman dan taqwa. 

Selamat pulang teman.

Selamat sujud pada Tuhanmu. 

Kerana Allah Sayang, Sebab Itu Allah Turunkan Ujian Hebat!

Kalaulah ujian yang sebegini besar, tidak mampu juga menyedarkan kita, maka ujian dalam bentuk yang bagaimana lagi yang kita nantikan.

Kalaulah ujian ini semakin menjauhkan kita dari rahmat allah, dengan cara apa lagi kita mahu mendekatiNya?

Kalau ujian yang besar begini, tidak menjadi asbab untuk kita berfikir tentang Allah, tidak menjadi asbab untuk meningkatkan iman, maka hamba apakah kita ini?


Leave a comment

Maafkan aku apabila diri ini tidak setiap masa dapat menjadi sahabat yang baik dan menenangkan.

Jujur, aku juga manusia biasa yang kadang-kadang terlepas pandang pada perkara besar mahupun kecil. Tegurlah tanpa berselindung. Kerana aku tidak tahu sama ada masih ada atau tidak esok hari untuk aku memperbaiki diri. Menangguhkan teguran demi kebaikan sahabat seolah-olah membiarkan sahabat berlama-lamaan dalam maksiat dan keburukan.

Sedangkan, sahabat itulah yang kita lafazkan sayang padanya. Sahabat itulah yang kita kata cinta kerana Allah.

Khuatir, kalau di sana nanti, kita tidak bertemu.
Khuatir, kalau ajal itu datang pada masa kita belum sempat saling melafazkan kebaikan.
Khuatir, apabila saat itu datang, aku masih tenggelam dalam maksiat dan dosa semalam. Sedang engkau masih menyusun kata mencari sedia
Khuatir, apabila saat itu datang, aku, kau sudah terlewat.

:(”


Leave a comment

Baiknya Allah.

Kalau tidak kerana Allah, mustahil kita bertemu. Apa saja yang terjadi dalam hidup kita ini – siapa yang kita jumpa, apa yang kita hadapi, bagaimana perjalanan hidup, kenapa begitu begini, hakikatnya semua itu kerana Allah.

Sering kali dalam hidup, kita silap membuat keputusan, kadang-kadang kita dengan sengaja menjerumuskan diri kita dalam lembah maksiat dan kemurkaan. Ramai di sekeliling, mereka hanya jadi penonton. Mereka hanya bising.

Tapi baiknya Allah. Apabila tiba masanya, Allah hadirkan sahabat, seseorang untuk menegur kesilapan kita, mengajurkan kebaikan agar langkah lebih kemas ke hadapan.

Apa saja yang diperkatakannya, boleh jadi betul dan boleh jadi salah. Terpulang pada kita untuk menilai. Yang beroleh kebaikan daripada teguran ini adalah yang mahu berfikir.

Dan yg mahu menerima hakikat bahawa daripada Allah-lah kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan.

Wallahualam.
😦

9 Jamadilawal 1435