Diusap Sentuhan Tarbiyyah

Tangga-tangga ke syurga perlu didaki dengan mujahadah, bukan keluh kesah!


Leave a comment

Hari guru.

Hari untuk mengulang ingat ketabahan guru yang menggalas beban amanat, mengendong impian mahu berjaya seorang pelajar dan ibu bapa.

Hari guru buat pelajar ialah hari untuk menguatkan semula ingatan pada kenangan menimba ilmu dari tiada kepada ada.

Tidak itu saja, hari guru ialah masa untuk menyegarkan niat bahawa ilmu ini dicari bukan kerana dunia semata, malah bekalan akhirat yang menjadi destinasi semua. Hari gurulah juga masa untuk menyemak semula hala dan matlamat kehidupan – yang tidak lain hanyalah untuk beribadah kepada Yang Maha Menciptakan, melalui timbunan ilmu yang jika ditulis pada lembaran, akan keringlah lautan.

Hari guru bukan sekadar mahukan ucapan seperti mana hari-hari yang lain, lebih dari itu hari guru perlu kepada manusia untuk duduk bertafakur, menimbang semula letak ilmu yang sudah ditimba – hendak dibawa ke mana, demi siapa? Dan ilmu yang banyaknya di dalam dada, jika tidak menambah takwa pada Yang Esa, tidakkah percuma?

Semoga hari guru ini menambah ketagihan kita pada ilmu yang bermanfaat. Tumpah dari tangan-tangan guru yang selalu sedia memenangkan, datang dari satu sumber yang selalu sedia menyaksikan. Baik pelajar cemerlang atau biasa-biasa cuma, hari inilah harinya. Guru-guru patut disantuni, Rabbmu patut dipuji.

Wahai Tuhan
Saksikanlah cinta kami kepada guru-guru kami
Jadikanlah cinta ini asbab kepada turunnya rahmatMu
Sebagai asbab ditambahkan ilmu dan kefahaman yang dalam

Dan dariMu jualah, Tuhan
Segala ilmu ini datang
KepadaMu jualah ia akan dikembalikan.


Leave a comment

Dedikasi Buat Adinda Putera

9 tahun. Kakak tahu ulang tahun kelahiran adinda. Kakak ingat. Mama juga ingat. Semua ingat. Sudah 9 tahun usia adinda. Tidak sedar, sudah 9 tahun juga jauh dari keluarga. Jauh…
2005. Kakak tingkatan 5. Kakak ingat lagi. Besar benar perut mama. Bengkak kaki mama. Semua urat hijau jelas kelihatan pada kaki mama. Dari paha sehingga buku lali. Seksa. Seksa melihat mama berjalan dalam keadaan sakit begitu. Lebih menyiksakan apabila mama masih tetap mahu berniaga.

Jualan kuih-muih sengaja mama lebihkan, supaya olehnya nanti harap-harap mencukupi untuk belanja makan minum kakak dan adik-adik, buat keperluan dapur dan bekal sekolah. Buat beli nutrisi tambahan dan pemeriksaan kesihatan adinda juga. Apatah lagi, tahun itu perlu dibayar yuran periksa kakak. Mama buat kuih dari malam untuk jualan esok siangnya. Seminggu sekali, mama ambil upah membersih rumah tauke cina di hujung kampung. Mama panjat tangga tinggi, bersihkan tingkap rumah Nyonya, buang sarang labah-labah, sapu debu pasir. Dan setiap kali pulang ke rumah, mama selalu tersandar letih. Tapi mama tidak pernah mengeluh. Kakak selalu nampak tangan mama mengusap lembut pada perut. Berbisik dengan adinda. Kasihnya mama…

Mama tidak pernah rehat dari kerja-kerja biasa hatta pada hujung hari kandungan. Kisahnya, mama mahu 9 bulan itu diisi penuh bersama adinda, membuat aktiviti kegemaran mama, melakukan kerja biasa.

Kata mama, biar adinda tahu erti susah payah seorang ibu. Biar adinda satu hari nanti, apabila bertemu kesusahan, tidak mudah alah. Allah, kasihnya mama… Mama mahu mendidik adinda menjadi anak yang tabah, gagah menghadap ujian dalam hidup masa depan. Apakah adinda sudah membesar sebagai si soleh yang mama hajatkan?

Mama, Allah saja tahu apa yang ada dalam hatinya waktu itu. Allah juga tahu apa ada di hati kakak dan adik-adik yang lain.Ketika beralih tangan dari mama kepada Ibu Liza, beralih juga air mata mama dari dalam dada tumpah menuruni pipi mama, pipi kakak, pipi adik-adik yang lain juga. Allah, sakitnya menerima perpisahan kita, adinda. Andai mahu diulang saat itu, pasti kakak enggan. Dan adinda Syahira yang lebat sekali tangisannya. teresak-esak buat beberapa masa mengenang adinda. Pasti, tangisan mamalah yang paling lantang di depan Tuhan walau dari riak wajahnya tidak melukis sebarang kesan kesedihan. Pedihnya mengenang…

Yang lebih menyakitkan apabila janji ibu Liza tidak ditunai. Apakah bahagia itu sukar sekali didapati dengan cara yang baik?

Kakak sedih. Mama juga. Malah seluruh keluarga sedih mengenang jauhnya adinda dibawa pergi oleh Ibu Liza. Dan mama, sehingga hari ini, tidak dapat mendengar nama adinda disebut. Adinda tidak meniti di bibir mama, tetapi menari di hatinya. Kakak pasti.

Cukup mengintai adinda dari jauh saja sudah membahagiakan. Cukup tahu adinda sihat dan sudah begitu lincah membesar menjadi permata Ibu Liza dan Papa Syafiq. Lebih dari itu, kakak mohon doa agar adinda terdidik menjadi mujahid fiddin, diwakafkan demi agama, ditarbiyyah mengenal Allah dan kasihkan nabi junjungan. Lebih juga kakak mohon doa, agar adinda berupaya menjadi imam solat keluarga Ibu Liza, membimbing seluruh keluarga ke jalan yang Allah redha. Siapa tahu, jika adinda hadir dalam keluarga membawa bersama tidak sahaja kebaikan, malah rahmat dan hidayah.

Syahdu hati kakak. Menulis dedikasi ini dengan harapan suatu hari ini akan sampai pada pembacaan adinda Anas. Syahdu hati kakak, setiap kali ulang tahun kelahiran adinda, setiap kali berkumpul semua ahli keluarga – adinda tidak bersama. Apakah sudah sampai pada adinda tentang kakak dan adik-adik yang lain daripada Ibu Liza? Apakah sudah sampai pada adinda tentang mama?

Kesal di hati mama, kesal juga di hati kakak. Namun apa yang sudah diizinkan berlaku ini harap dapat kita fikirkan hikmahnya. Rahsia apakah yang hendak Allah bukakan saat mengizinkan perpisahan ini terjadi? Kakak belum tahu, malah mungkin tidak akan tahu.

Jika Allah tidak izinkan kita bertemu di dunia ini, harapkanlah pertemuan yang indah di akhirat sana. Di mana kita berkumpul saling berdakapan, melepas rindu dan bertukar cinta sayang di depan Tuhan yang menyaksikan.

Jika sampai dedikasi ini untuk adinda, ketahuilah bahawa kasih kakak pada adinda tidak kurang. Tidak lebih juga berbanding adinda kakak yang lain. Ketahuilah juga bahawa kasih mama tidak ada banding taranya buat adinda. Walau hanya disampaikan lewat doa, rasa kasih dan rindu buat adinda selalu bertaut pada hati-hati yang jauh ini. Sampaikah rindu itu pada dirimu, adinda?

Semoga ketabahan yang ada pada mama hinggap pada peribadi, rajin pada adinda Thaufiq lekat pada tangan kaki, kelembutan pada adinda Shafiqa menghias tingkah budi, keceriaan pada adinda Shahira pelengkap hari dan selalu mahu berusaha menjadi lebih baik seperti ayah.

Pesan-pesan kakak ini bawalah dalam perjalanan hari-hari. Bahawa kakak ingin punya Anas yang berani. Berani terbang tinggi bersama impian, berani mengusahakan cita bersama doa berterusan. Kakak ingin punya Anas seperti sahabat nabi. Yang cintanya jatuh tidak pada duniawi. Kakak ingin sekali, melihat Anas, adinda yang membawa panji perjuangan Islam suatu hari nanti. Anas yang disayangi penduduk langit dan bumi.

Kakak ingin sekali.