Diusap Sentuhan Tarbiyyah

Tangga-tangga ke syurga perlu didaki dengan mujahadah, bukan keluh kesah!

Gelora Hati Bonda I (Bersambung…)

Leave a comment

“Rasanya kakak perlu fikir-fikirkan seorang pembantu.”

Sara terdiam. Menelan baki pau kukus bersama dengan kata-kata si ibu, terasa sukar. Tidak dibalas pandangan si ibu. Malu, kaku, sebak – semua rasa itu bercampur.

Si ibu merenung wajah anak gadisnya. Dia mengerti. Mungkin terlalu tiba-tiba pernyataan itu dilontar atau mungkin tidak kena masa dan penyampaiannya. Tetapi bila lagi? Fikirnya. Malah ini bukan kali pertama, anak gadisnya itu ditanya tentang pembantu. Sudah beberapa kali dirisik oleh saudara-mara, kalau-kalau sudah ada bunyi-bunyi mahu berteman.

“Atau kakak memang berhajat mahu bersendirian sampai ke tua?” Duga ibu.

Sara masih diam. Tangannya mencapai tisu merah pudar di sisi kanan meja. Diusap perlahan tisu pada sisa kuah kari ayam yang tertumpah pada meja. Belum berani dia membalas pandangan ibu. Bolehkah dibiar sahaja soalan ini berlalu? Apa ibu memang perlukan jawapan? Sara berdialog dengan diri. Diketap bibir mengharap debar dalam dada hilang digantikan rasa tenang. Tidak juga.

“Kakak…” Panggil ibu lembut. Sara menghela nafas.

“Kakak nak belajar lagi.” Jawab Sara. Perlahan benar.

“Sampai PhD?” Tanya ibu. Tangannya menongkat dagu.

“Sampai puas.” Dikuis-kuis pau kukus berbaki di dalam piring kaca. Compang-camping satu bahagian pau kesan cubit-cubit Sara.

“Jadi antara waktu belajar ini kakak tidak fikirkan tentang berkahwin?”

Berkerut dahi ibu Sara. Tidak senang duduk dia memikirkan jawapan Sara. Apa yang anak ini impikan sebenarnya? Soalnya dalam hati. Direnung jari-jari anak gadisnya yang mencubit pau kukus dalam piring kaca. Bertaburan serpihankecil-kecil pau kukus pada ruang piring yang sebahagian.

“Yang perlukan pembantu tidak cuma kakak, tetapi adik-adik, malah Mama pun perlu. Mama tak kisah siapa pun yang kakak pilih, kaya mana keluarganya, tinggi mana pelajarannya baik dalam bidang kedoktoran atau kejuruteraan. Yang penting, boleh sama-sama bantu kakak bimbing adik-adik, bimbing anak-anak – itu sudah memadai.”

Ibu Sara menahan rasa sebak di dalam dada. Memberitahu apa yang sebenarnya dia mahukan daripada calon suami Sara, inilah kali pertama. Memang sebelum ini pun dia sudah memberitahu Sara bahawa dia mahu Sara menemui bukan sahaja suami yang soleh, tetapi pembantu dalam urusannya yang sekalian banyak, tidak tertanggung jika keseorangan. Kasih ibu Sara tumpah pada sentuhan tanggannya yang mula singgah pada tangan Sara.

Mengalir air mata anak gadis itu. Satu titis demi satu titis mengenai birai meja lalu tumpah sedikit pada tudung. Diseka segera. Malu.

“Tidak mungkinkah belajar apabila sudah berkahwin, kak? Boleh kan jika orang yang kakak pilih itu pun sama-sama cinta pada pelajaran?” digenggam lembut tangan Sara.

“Kakak nak belajar lagi, Ma. Dekatnya rasa dengan Allah apabila belajar. Kakak takut, jika berkahwin hanya akan menjauhkan kakak daripada rasa ini. Kakak takut bila sudah ada pembantu nanti, kakak jadi lemah. Kakak takut bila sudah ada pembantu nanti, kakak sudah lupa bagaimana mahu bersendiri, mahu berdikari. Yang paling kakak takut, yang kakak temui hanya suami, bukan pembantu seperti yang Mama mahu.”

“Apa yang Mama mahu tidak semestinya yang terbaik,Kak. Apa yang Mama mahu hanya terbit daripada keperluan. Kakak selalu kata, semua perkara berbalik kepada rahmat Allah. Allah-lah yang akhirnya memberi ketetapan. Sama ada apa yang Mama mahu ini akan Allah berikan atau sebaliknya, Allah-lah yang punya kuasa.

Tetapi kuasa Allah ini tidak menyekat anak Mama untuk berusaha mencari yang sesuai kan? Apa yang kakak takutkan itu cuma sangka-sangka yang kakak sendiri tidak pasti akan terjadi atau tidak. Pilihlah yang benar, jangan pilih yang olok-olok. Pilihan yang benar inshaa allah akan menyelamatkan kakak daripada ketakutan yang kakak sangka.”

Berderai air mata Sara jatuh menuruni pipi. Tidak larat lagi mahu diseka. Dibiar seketika air mata menghujani, melimpah dari takungan kekeliruan dalam dada yang berombak garang. Hati Sara rasa letih. Pandangannya rasa letih. Jasadnya rasa letih. Pau kukus tidak lagi menarik nafsu makan yang tadi benar-benar berkeinginan. Tidak pernah ada yang mencabar pendirian dalam soal berteman sebelum ini. kerana setiap kali dia memberikan alasan cintanya lebih mengutamakan ilmu dan pelajaran, setiap kali itulah perbualan berkisar teman dan pernikahan bernoktah. Hari ini, alasannya dipatahkan. Lebih sarat untuk ditanggung apabila yang mematahkan alasan adalah ibunya sendiri.

Mahu saja Sara bangun dan keluar daripada restoran itu. Kalau diikutkan hati segera saja dia mahu bangkit, berlari terus ke muka pintu, meninggalkan ibu dan hajatnya mahu bermenantu yang seperti itu dan ini. tetapi kaki, tangan, jasad dan hati Sara seperti dikunci oleh rantai air mata dan kesedihan yang tidak dapat dikiaskan dengan apa-apa.

“Segeralah berlalu, wahai masa. Aku tidak mahu lagi berada dalam dimensi perbualan ini” Ronta hati Sara.

 

Author: nurkhaulahazwar

Tidak punya apa-apa melainkan semuanya dari Allah. Haaza min fadhli Rabb

Leave a comment