Diusap Sentuhan Tarbiyyah

Tangga-tangga ke syurga perlu didaki dengan mujahadah, bukan keluh kesah!


2 Comments

Derap-derap Hijrah

“Bagaimana boleh berubah?”

Sara tersenyum membaca emel Reha, sahabat yang lama tidak ditemui. Soalan begitu biasa ditanya padanya. Malah beberapa hari lalu bersua ayahanda Tok Guru, juga dia disoal mengapa dan bagaimana.

“Bagaimana dari begitu boleh jadi begini? Mengapa enti berubah?”

Sara senyum lagi. Kelihatan lesung pipit di atas pipi kanannya. Kedua mata dipejam. Kepala disandarkan pada sofa merah lembut di belakangnya. Masih terbayang padanya wajah ayahanda Tok Guru, berjubah putih jalur kuning emas dengan serban kemas, menambah seri di wajahnya.

“Huh…” Sara mengeluh kecil. Ibu jarinya mengelus lembut telefon yang digenggam. E-mel Reha belum dibalas.

“Biarlah dulu.” Fikirnya.

Jujur, Sara tidak ada sebab khusus mengapa dirinya berubah. Dia tidak mimpikan hari kiamat, tidak kemalangan, malah dia juga tidak tiba-tiba mendapat ilham berubah ketika sujud atas sejadah. Semua yang berhijrah ada sebab mereka sendiri, ada kejadian yang mengiringi perubahan mereka. Tidak bagi Sara. Jika ditanya mengapa, dia tidak tahu jawabnya. Gerak hati berubah itu hadir dalam dada, tidak sekali, malah berulang datang mengetuk pintu hati yang pernah tertutup untuk agama. Tertutup untuk Allah dalam bahasa yang lebih keras jika mahu. Sara sedar gerak hati itu sudah ada lama ketika dirinya masih di ‘zaman gelap’ lagi. Acap kali ia hadir, Sara endahkan.

Gerak hati itu terus bertandang walaupun tidak bersambut. Ia malah sering benar menjengah sejak dia memulakan pengajian peringkat ijazah. Sehingga kini pun, gerak hati mengajak kepada kebaikan ini masih hadir, mengajak dirinya sedikit-sedikit, perlahan-lahan, terus istiqamah meninggalkan kemungkaran.

“Sayang, hidayah sudah datang awal tetapi hati tetap enggan taat.” Bisik Sara.

Kian erat matanya dipejam. Ada rasa sakit ngilu di hujung hatinya. Mahu menjerit mengenang diri yang dulu ingkar. Terbayang surah al-Hadid, ayat 16. Ya, ayat itulah yang pernah membuat jantungnya bergetar, ayat itulah yang pernah membuat seluruh badannya menggigil, menahan tangis malu pada Rabbnya. Ayat itu jugalah sehingga kini menjadi ubat hatinya di saat imannya turun.

“Allah…” Ada air jernih menuruni hujung tirus mata Sara yang terkatup.

“Gerak hati ini dari Allah. Allahlah sebab berubah.” Bisik Sara perlahan, cukup untuk didengari cuping telinganya sendiri.

Sara menyentuh dadanya. Ada debaran.

 Jahilliyyah yang Semalam

 “Kalaulah ustaz Musa tidak doakan aku…” Bisik Sara dalam hati.

Sara mengesat air mata yang tumpah. Dia teringatkan ustaz Musa. Hampir setiap kali mereka bertembung di mana-mana baik dalam kawasan sekolah mahupun di dalam kelas, ustaz Musa akan melafazkan doa yang sama. Mustahil Sara lupa.

“Ya Allah, berilah hidayahMu kepada pelajarku ini. Tunjukkanlah mereka jalanMu yang lurus.”

“Amin.” Sambut Sara dan dua orang rakannya yang lain.

Sara masih ingat doa ustaz Musa selalu diaminkan mereka bertiga, kemudian disambut derai tawa ketiga-tiganya. Ustaz Musa tidak pernah marah, tidak pernah berhenti berdoa setiap kali mereka bertemu walaupun tanpa rakannya yang lain.

“Sudah solat?” Tanya ustaz Musa. Sara teringat lagi.

“Ustaz solat je lah dulu. Kitorang belum sampai seru.”

Jawab Rania. Disambut ketawa Atilla.

Sara malu ketika itu. Dia berpaling memandang kedua-dua rakannya. Dia kemudian tunduk. Malu berdepan ustaz Musa, malu ditanya soalan begitu. Biarlah tidak solat tetapi dia tidak mahu menipu, jauh sekali mahu memberi jawapan ‘kurang ajar’ begitu pada gurunya. Mulutnya terkunci. Tidak mungkin dia mahu memberitahu ustaz Musa bahawa tidak pandai solat. Yang dia tahu cuma gerakan solat tetapi lafaz dan apa erti solat dia langsung tidak tahu.

“Apa khabar ustaz Musa sekarang agaknya?” Fikir Sara.

“Doa ustaz itu usaha ustaz, tetapi hidayah tetap dari Allah.” Tenggelam Sara dalam lamunannya. Jauh dia mengemudi kenangan yang jarang-jarang mahu dikenang. Tetapi kenangan itulah yang menghidupkan hatinya, kenangan itulah yang jadi asbab untuk dia berlari laju meninggalkan masa lalu. Bukan kerana masa lalu itu disesali, tetapi kerana menebalnya rasa malu dirinya pada Tuhan yang Maha Pengasih. Sara terus singgah dari satu kenangan kepada kenangan yang lain. Semuanya kenangan yang gelap. Penuh gelak tawa.

“Sudah banyak kali aku ketawa dalam maksiat. Astaghfirullah…” Sedu tangis hadir lagi.

Sara menekan dada kirinya. Sakit. Sakit benar rasanya mengenang dosa-dosa yang pahit.

“Apa lagi kamu mahu dalam hidup ini, Sara?” Lembut bicara ustazah Normah, guru pendidikan islam di sekolah Sara.

Sara tunduk memandang sejadah yang diduduki.

“Saya sekadar mencuba.” Perlahan jawapan itu dituturkan. Ustazah Normah menarik nafas dalam.

“Mencuba sesuatu yang Allah tidak suka? Mengheret diri kamu dalam maksiat yang sebegini berat beerti kamu menjerumuskan diri kamu kepada murka Allah. Kamu sedang mencuba-cuba ke neraka, tahu?”

Sara menelan liur.

“Neraka” Dia mengulang perkataan itu di dalam hati.

“Kamu pintar, Sara. Kamu dapat anugerah setiap tahun walaupun jarang ke sekolah. Allah beri bijaksana pada kamu walaupun kamu langgar perintah Dia. Allah beri rezeki. Kamu dapat makan, minum, pakai, tempat  tinggal yang cukup walaupun ketika kamu buat maksiat di hadapan Allah.” Keras suara ustazah Normah. Pandangannya tidak beralih dari memandang Sara.

Sara masih ingat, ustazah Normah juga seperti ustaz Musa, ambil berat akan dirinya. Dia tahu, dua orang gurunya itu sudah letih mendengar aduan tentang dirinya. Dia jarang ke sekolah. Boleh dikatakan ibunya datang lebih kerap kerana surat penggilan pihak sekolah atas kelakuannya. Sudah berkali-kali dia ditahan di luar sekolah atas kesalahan melibatkan pelajar sekolah yang pelbagai. Pernah sekali, dia ditahan bersama sekumpulan pelajar yang bergaduh bersenjatakan parang. Mengucap panjang ustazah Normah mendengar berita tersebut.  Beberapa kali dia mendapat amaran gantung sekolah, malah kes-kes yang berkaitan dengannya sudah banyak kali dimajukan pihak sekolah kepada pejabat pendidikan daerah. Dan setiap kali itu juga pihak atasan memberi peluang, kerana prestasinya yang cemerlang.

Sara juga masih ingat, ustazah Normah pernah meminta dia solat dua rakaat selepas satu ‘ceramah’ ringkas sebaik sahaja dia diheret ke bilik pelajar. Sara solat seperti diminta. Dia rasa menggigil setiap kali sujud ke lantai. Dia tidak membaca apa-apa selain Al-Fatihah. Itu yang membuat dirinya menggigil.

“Apakah aku sedang menipu tuhanku?” Hadir bisikan iman.

“Masa itu pun seruan kebaikan datang, tetapi hati aku masih enggan. Jauhnya aku dari Allah…” Keluh Sara. Setitis demi setitis air mata jatuh mengenai lenggannya. Dibiar begitu saja.

Ditarbiyyah kehidupan

“Kau pelajar cemerlang, tak apalah.” Ujar Marissa. Tak henti-henti Marissa memuji Sara yang mendapat CGPA tertinggi di dalam kelas. Malah Marissa sering mengakui kehebatan Sara menguasai pelajaran.

Cemerlang. Sara rasa geli mendengar perkataan itu dikaitkan dengan dirinya.

“Ya, aku cemerlang dalam pelajaran. Tetapi aku tidak punya apa-apa dalam amalan beragama.” Jawab Sara dalam hati.

Entah sejak bila dia mula rasa geli dia tidak tahu. Sebelum melangkah ke alam universiti, dia tidak geli pun dikatakan cemerlang. Dia malah bangga apabila ada yang memujinya. Berjela-jela leretan senyuman kalau ada rakan-rakannya yang kagum akan dirinya yang ‘jahat’ tetapi bijak.

Sejak ke universiti, malah dari hari pertama tinggal sebilik dengan lima orang kenalan, Sara banyak memerhati, melihat atur waktu dan tingkah laku lima orang rakan sebiliknya. Tergerak hatinya mahu mengerjakan solat. Bukan. Dia mahu memperbetul bacaan solatnya. Mahu belajar solat dengan cara yang jujur, bukan olok-olok dan menipu Rabbnya.

Sara lebih banyak berfikir. Fikir-fikir yang banyak dan mendalam itu semakin hari semakin mendesaknya ke arah kebaikan, mencari keampunan tuhan. Kian kerap dia memikirkan kecermelangan prestasinya dalam pelajaran dan beberapa hal lain, kian dekat nasihat ustazah Normah dan doa ustaz Musa di hatinya.

“Jangan sampai kita lupa, ada manusia yang Allah beri nikmat berterusan tetapi nikmat itu tidak mendekatkannya pada Allah, malah mencampakkan dia semakin jauh dari berkat dan rahmat.” Pesan ustazah Normah itu masih segar di ingatannya.

“Astaghfirullah…” Sara menegeluh.

Dan mulalah hari-harinya menyahut seruan kebaikan. Seruan yang sebenarnya sudah berkumandang lebih awal tetapi sengaja diabaikan. Sara belajar perlahan dalam beragama. Dia banyak bertanya, memerhati, membaca. Alhamdulillah, sahabat yang solehah adalah nikmat Allah yang mahu terus dia syukuri.

“Awak nampak lebih cantik bila bertudung. Tengok sana. Cuba senyum.” Sara menoleh cermin di belakangnya.

“Macam muallaf. Mata sepet!” Hanisah tertawa. Gadis dari Kelantan itu memegang kedua-dua bahu Sara dari belakang.

“Kan? Macam orang Monggolia.” Sara menyambung tawa. Dia membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Mengelip matanya  berkali-kali seperti tidak percaya pada pandangannya sendiri. Sara senyum.

“Mudah-mudahan, ini Allah suka.” Katanya pada diri.

Hijab yang pertama itu jadi langkah pertamanya dalam hijrah. Hijab yang pertama itu mengajar dia sabar dengan ujian, godaan yang datang bersama jalan perubahan. Dalam masa sama ada yang ada memberi sokongan, tidak sedikit yang melemahkan usaha hijrah. Malah bilangan yang membanding puji dirinya lebih cantik tanpa tudung juga tidak sedikit.

“Kuat, Sara. Mahu pergi dalam dakapan Allah itu memang sukar.” Pujuk Hanisah.

“Sukar benar, Hanisah.” Balas Sara.

“Sukar itu tanda jalanmu benar.” Hanisah senyum. Sara rasa tenang.

Hanisah tidak pernah putus mendendang nasihat kebaikan. Bual-bual waktu senggang disulam dengan sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan mesej-mesej menyenangkan. Hanisah sahabat yang baik. Malah keluarganya juga baik. Hanisahlah yang memujuk hatinya untuk terus istiqamah dalam perubahan. Hanisahlah yang mula-mula menangani bacaan Qurannya yang masih merangkak-rangkak. Sara masih ingat, sambil melipat kain baju, Hanisah sempat memperbetul bacaan Qurannya.

Sara senyum sendiri mengenang Hanisah. Sahabat yang baik itu dari Allah. Kekuatan untuk terus melangkah juga dari Allah. Langkah yang pertamanya terus dihayun ke depan, mengorak langkah seterusnya dalam mencari keampunan Rabbnya. Perlahan. Sedikit lintang-pukang di awal, namun beransur kemas pada langkah-langkah ke depan.

Bagi Sara, kesukaran menempuh jalan hijrah ibarat langkah anak kecil yang baru berjalan. Rebah tersungkur memang akan dilalui. Sepanjang proses itu, ada ahli keluarga yang bertepuk suka memberi sokongan. Tidak lupa ada yang mengacah mahu menguji kesungguhan. Mahu terus berjalan atau tidak, kitalah yang memilihnya. Malah mahu memulakan langkah pertama juga pilihan kita. Kerana itu Sara beranggapan bahawa hidayah itu sekadar jalan yang Allah buka. Hidayah akan tinggal hidayah jika tidak diusahakan.

Pesan hijrah untuk Reha

“Semua ini dari Allah, Reha.” Dia mahu menaip itu dalam jawapan balas emel Reha. Tangannya menggosok-gosok skrin paparan telefon, kepalanya masih memikirkan ayat yang baik sebagai dorongan kepada Reha. Dia tahu, Reha juga sedang melalui fasa sama yang pernah dilaluinya. Perlahan, dibaca semula e-mel Reha. Jarinya menekan punat-punat abjad, menaip beberapa rangkap pesanan balas buat sahabatnya.

“ Nur Reha yang dikasihi Lillahi Taala,

Demi berlaku jujur, saya tidak pernah memikirkan sebab untuk berubah. Mungkin kerana usia yang kian singkat, menarik saya untuk berfikir tentang pengisian pada usia, akhir sebuah kehidupan, dan masa depan saya di ‘sana’.

Yang selalu saya fikirkan, kalaulah Allah mengambil nyawa ini ketika saya dalam keadaan maksiat, apakah Allah akan berpaling dari saya? Dalam golongan manakah saya akan dihimpunkan bersama? Sudah terlalu banyak nikmat Allah, dan tiada satu pun mampu saya dustakan, apakah belum tiba masanya hati saya ini untuk tunduk patuh padaNya? Cukuplah kematian itu menjadi ingatan dan sebab untuk kita terus melangkah. Bukankah kebenaran itu untuk orang-orang yang mahu memikirkan?

Sekiranya dirimu, Reha, sedang berkira-kira mahu melangkah di jalan hijrah, bawalah pesan saya:

Janganlah mencari sebab lain untuk berhijrah selain kerana Allah. apa sahaja yang disandarkan pada yang selain daripadaNya tidak kekal. Pahatlah dalam hati, “Allah-lah sebab aku berubah”. Di jalan itu nanti, ujian datang seperti air yang mengalir. Yang membezakan hanya pada laju perlahan air tersebut dan bagaimana dirimu mahu mengunci punca air agar tidak membuat dirimu rebah basah. Raihlah keampunan Allah.

Selagi matahari masih terbit dari belah yang sama setiap pagi, selagi itulah pintu taubat masih terbuka.

Sara mengulang baca tulisannya pada skrin. Jari telunjuknya kemudian mencari butang biru di sebelah bawah paparan.

Send.


2 Comments

Pemuda, hentikan fitnah terhadap Rabbku!

Yang disisih tersisih

“Pernah bincang soal masa depan bersama?”

“Pernah saya usulkan. Tapi dia kata tak sedia lagi. Alasannya, masih banyak lagi perkara dalam hidupnya yang perlu diselesaikan sebelum hal jodoh dan rumah tangga difikirkan.”

Amina mengeluh. Sara berpaling, melihat gelagat pelajar yang lalu- lalang di depan mereka. Jawapan Amina mendatangkan sebak di dada Sara.

“Saya cintakan dia, Sara. Sungguh-sungguh cinta. Tak mungkin rasa cinta ini hadir begitu saja kalau bukan dari Allah.”

“Allah”. Sara mengulang nama Rabb di dalam hati.

Menangis hatinya. Kalau boleh dia mahu berlari keliling bangunan, meninggalkan Amina dengan masalah hatinya.

“Astaghfirullah”, keluh Sara memujuk diri. “Bersihkanlah nama Allah ini”, tambahnya.  Mahu membangun semula kesediaannya mendengar masalah Amina. Memang itulah janjinya pada Amina. Berkali-kali dari awal perbualan, dia mengulang cakap yang sama.

“Saya tak dapat janjikan penyelesaian pada awak, Amina. Saya akan usahakan apa yang mampu.”

Amina faham benar sikap Sara. Memang itulah yang selalu diucapkan Sara setiap kali dia meminta nasihat. Dia tidak kisah. Malah kesudian Sara meluang masa untuk menjadi pendengar sudah besar baginya.

“Dan kini, dia mula menghindar. Dia sudah berubah. Dulu, hampir setiap malam dia menelefon, saya boleh kata hampir setiap jam. Hanya mahu mendengar suara, menyatakan rindu dan sayang.”

Amina mengeluh. Ada air putih yang bertakung pada telaga matanya. Sara nampak itu.

“Saya tak sangka, selepas sebulan berada di Jordan, dia terus berubah. Takkan sibuk sepanjang masa? Kitab apa yang dihafal sampai satu minit pun tidak ada untuk saya.”

“Dia janji, Sara. Mahu bersama-sama saya dalam hubungan ini. Dia minta saya tunggu. Saya tunggu. Tetapi bagaimana saya harus tunggu jika dia sendiri sudah menjauh? Tuhan saja tahu perasaan saya.” Semakin perlahan nada Amina, menampakkan kesedihan yang ditanggungnya.

“Dia kata cinta…” Amina semakin jauh dalam lamunan yang mengecewakan.

Sara yang tekun mendengar dari awal perbualan bermain-main dengan hujung lengan bajunya. Otaknya mengimbas kembali butiran percakapan Amina dari awal.

Kerana Allah?

“Saya faham perasaan awak, Amina. Saya tahu apa rasanya mencinta kemudian diabaikan. Saya pernah berada di situasi ini. Segala puji bagi Allah yang mengurniakan rasa cinta ini kepada kita.” Sara memulakan.

Allahul musta’aan. Detik hati Sara. Ada debar di dadanya.

“Cuma sayangnya kita tidak pernah belajar memberi dan menerima cinta kerana Allah.”

“Saya kurang faham.” Amina menoleh sahabatnya.

“Cinta perasaan yang sangat indah. Indahnya rasa cinta ni buat kita jadi sasau tanpa cinta. Kita rindukan dia setiap hari, tidak boleh tak mendengar suaranya walau sekejap, kita tatap gambarnya, mahu berjumpa selalu, malah apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya, akan kita suka. Yang kita selalu lupa, perasaan itu dari Allah. “ Sara tunduk.

“Saya tidak lupa, Sara. Saya tahu ini dari Allah. Malah cinta saya kepada dia juga kerana Allah. Dia pun cakap macam tu!”

“Cinta kerana Allah tidak menyakitkan begini, Amina.” Perlahan suara Sara. Ada getaran di hujungnya.

Amina seperti terkedu. Hilang kata-katanya. Dia bersandar perlahan pada sofa. Ya, cinta ini menyakitkan dirinya. Selalu ada rasa pilu dan ngilu di sudut hatinya setiap kali memikirkan Fattah, lelaki yang dicintainya kerana Allah.

“Allah? Benarkah kerana Allah? Cinta kerana Allah tidak akan menyakitkan. Benarkah, Allah?” Meronta-ronta hati Amina menangis. Sakit. Pedih. Tadi kerana Fattah, tetapi kini dia tidak pasti apakah pedih ini kerana Fattah atau apa yang diucapkan Sara.

“Cinta memang dari Allah, tetapi jika cinta itu tidak dijaga dan dipelihara demi Allah yang Maha Suci dan Maha Kasih, akan hilang manisnya. Cinta kerana Allah akan meletakkan Allah di tempat pertama. Akan meletakkan Allah sebagai pembimbing, sebagai jalan. Di mana cinta Allah ketika kita sasaukan kekasih kita? Di mana cinta Allah ketika kita mabukkan dia?”

Soalan Sara semakin menenggelamkan Amina dalam kesedihan. Merah wajah Amina menahan sebak. Perlahan, ada air jernih yang menuruni pipinya. Segera diseka. Dia malu pada Sara.

“Bila kita kata kita sayang dan rindukan seseorang kerana Allah, apakah cara kita menunjukkan sayang dan rindu itu juga kerana Allah? Dalam cinta, bukan lafaznya yang utama, tetapi perbuatan membuktikan juga perlu sama dengan apa yang dikata. Sama dalam hal cinta kerana Allah ini. Mengatakan cinta itu kerana Allah tidak memadai jika jalan yang kita ambil bukan jalan Allah.”

Sara menoleh di sisinya. Memandang Amina dengan kasih yang dalam. Disentuh lutut Amina yang berlaga dengan lututnya. Amina sepi.

“Saya tak salahkan awak atau Fattah, Amina. Ini semua ujian dari Allah. Cubalah lihat kebaikan dalam ujian ini.

Boleh jadi, Fattah sedang berubah ke arah yang lebih baik. Awak kata, sejak belajar di Jordan dia berubah. Boleh jadi, di sana dia mendapat tarbiyyah, boleh jadi, dia bersahabat dengan seseorang yang dekat dengan Allah. Boleh jadi Amina, dia sudah sedar bahawa percaturan cintanya ini ada kesilapan dan dia sedang berusaha memperbaiki. Boleh jadi, dia menjauh kerana Allah, menjauh supaya dia dapat menjaga awak, menjauh demi kebaikan yang lebih banyak dari Allah.”

Itu harapan Sara. Mudah-mudahan Fattah sedang mengusahakan perkara ini.

“Bagaimana kalau tidak begitu, Sara?” Amina menyentuh tangan Sara yang masih di lututnya.

“Jika tidak begitu, boleh jadi Allah mahu menggantikan yang lebih baik untuk awak. Allah lebih tahu.”

Baik vs lebih baik

“Dia baik, Sara. Dia sudah cukup baik bagi saya. Saya cintakan dia…” Keluh Amina.

Sara menarik nafas dalam-dalam.

“Ya, dia baik. Saya tahu. Tetapi boleh jadi bukan dia yang terbaik untuk awak. Dia baik, tetapi Allah mahu beri yang lebih baik daripada dia. Siapa tahu? Allah lebih tahu, Amina.”

“Bagaimana orang yang baik, Sara? Bagaimana pula yang lebih baik daripada baik?”

“Yang baik adalah yang mencintai kerana Allah. Dan cintanya itu membawa kita semakin kenal dengan Allah, semakin dekat dengan Allah. Cintanya dibawa melalui jalan yang Allah redha. Rindunya diraikan dengan apa yang Allah suka, menghindar apa yang Allah larang. Lelaki yang baik adalah yang mahu memimpin kita ke syurga.

Apa jalan yang Allah redha? Perkahwinan. Kalau sesuatu hubungan itu tidak bermatlamatkan perkahwinan, apa tujuannya? Melalui perkahwinanlah dia dapat memimpin tangan kita ini, berjalan sama ke syurga. Kalau sebelum berkahwin, mahu sama berpimpin tangan ke syurga, apakah itu Allah suka?”

Lembut nada Sara. Tetapi butirnya tajam, mengena tepat pada hati Amina.

“Bagaimana kalau dia masih menumpukan pada hal yang lebih utama? Atau belum mampu kahwin?”

“Maksudnya, bercinta dan berhubungan ini bukanlah utama baginya. Malah tidak utama pun memandangkan dia belum mampu. Jadi apa tujuan bagi hubungan yang tidak utama dan belum pasti ini, Amina?”

Sara bukan mahu dijawab. Soalan itu cuma untuk Amina fikirkan. Biarlah dia menjawab sendiri dengan jujur. Tidak perlu pun jawapan itu bagi Sara. Yang perlu baginya saat ini, memberi pencerahan kepada Amina dan membersihkan nama Rabbnya yang terfitnah.

“Jadi, kalau benar Fattah bukanlah menjauh untuk mengusahakan kebaikan, boleh jadi Allah mahu gantikan dengan orang lain yang lebih baik seperti saya kata tadi. Mungkin yang akan datang ini membawa cinta yang benar, yang mengajak awak membina masa depan yang benar, berkiblatkan Allah, tuhan yang benar. Boleh jadi, Amina. Saya tidak tahu.

Yang terbaik adalah apa yang ada di sisi Allah. Dialah yang lebih mengetahui. Kita tak dapat pastikan kalau yang kita jumpa ni yang terbaik, mungkin ada lagi yang lebih baik. tetapi apa yang Allah takdirkan adalah yang terbaik untuk diri kita.”

Kita Diperdaya Cinta

“Allahu Rabb. Kenapa saya selalu ditindas begini, Sara? Saya bukan pilih lelaki sembarangan. Pilihan saya semuanya kaki masjid, berjanggut sunnah, berjubah, kopiah, malah lembut lidah mengucapkan nama Allah.”

“Saya faham awak nak cari yang terbaik dalam agama. Amina, iman letaknya di hati. Janggut, jubah, kopiah, itu perhiasan luaran. Ya, yang beriman dan cintakan sunnah akan usahakan yang fizikal ni, tapi ia tak boleh jadi satu-satu ukuran dalam penilaian.

Dalam temu duga, penampilan saja tidak cukup walaupun ia membentuk first impression kepada penemu duga. Yang lebih utama, bagaimana calon menghadapi soalan penemu duga, pembawakan wataknya, kebijaksanaannya dan lain-lain. Yang beriman pun begitu, tidak cukup sekadar kopiahnya, tetapi perlu juga kita tengok amalannya, pergaulannya, isi perbualannya, akhlak dan lain-lain.

Amina, yang benar beriman akan sangat teliti dalam perbuatannya kerana rasa takutnya pada Allah. Sekecil-kecil maksiat akan dia hindari, dan sehalus-halus kebaikan, akan dia usahakan.”

“Saya terpedaya.” Amina mengeluh, menyeka air mata yang turun tiba-tiba dari takungannya.

“Awak diuji.” Sara senyum.

“Apa yang terbaik untuk menguji iman kita jika bukan ujian dari Allah? Rawatlah hati dengan kembali kepada Allah. Ia sedang sakit, Amina. Ia perlu rawatan segera. Bersegeralah kepada Allah, Dia sangat dekat.”

Amina tunduk. Malu berdepan dengan Sara. Lebih dari itu, dia malu pada Allah. Kata-kata Sara benar. Dia terpaksa mengakui bahawa memang hatinya sedang sakit. Bezanya, di awal tadi hatinya sakit kerana Fattah, tetapi kini hatinya sakit mengenang jauhnya dia dari Allah. Ya, dia cintakan Fattah, tetapi cinta ini menyakitkan dirinya, dan cinta ini membawa dia jauh dari Allah.

“Mohonlah dari Allah. Kalau benar yang terbaik itu Fattah, maka mintalah dipermudahkan. Kalau bukan, redhalah. Sentiasalah bersedia menghadapi apa saja ketentuan Allah. Jangan terlalu cinta, jangan juga terlalu benci, usahakanlah jalan tengah supaya kita tak kecewa. ”

Nasihat Allah, nasihat terbaik!

“Terima kasih, Sara.” Amina menggenggam tangan Sara. Dingin.

“Saya minta maaf, Amina. Saya tak ada jalan keluar yang terbaik untuk awak. Itu cuma nasihat, fikirkanlah, ambillah kalau bermanfaat. Nasihat yang terbaik adalah nasihat Allah.

Boleh jadi kamu benci sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Boleh jadi kamu sukakan sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Saya sayangkan awak, Amina.”

Amina memeluk Sara erat. Tidak pernah dia mendengar ucapan yang jujur begini. Sungguh, kata-kata Sara menenangkan hati yang luka. Benar katanya, nasihat Allah adalah nasihat terbaik.

“Ini sudah jauh lebih baik dari sebuah jalan keluar yang belum tentu saya usahakan. Awak Sara, sentiasa menenangkan.” Amina bisikkan di telinga Sara.

“Allah lebih menenangkan, Amina.”

“Allah, ini saja kumampu, membersih fitnah terhadap namaMu. Pemuda, hentikanlah fitnah ini. Cinta kerana Rabbku, bukan begini pembuktiannya”. Kata Sara, dalam hati.

Pelukan kian erat.


4 Comments

Poligami yang terfitnah!

Sara terkumat-kamit membaca doa naik kenderaan. Sudah kali ke berapa pun dia tidak pasti. Gundah juga hati manusianya setelah beberapa kali pesawat mengalami gegaran kecil.

“Tiada daya dan upaya kami melainkan daya upayaMu, Allah.” Doa sara dalam hati.

Di kanannya pemuda berbangsa Cina, tekun membaca novel tanpa peduli pada suasana yang sedikit hingar. Sara menjenguk ke luar tingkap pesawat. Gelap.  

‘Dum!’

“Allahu akbar!” Sara separuh menjerit. Berdebar-debar jantungnya.

“Langgar awan.” Ujar wanita di kiri Sara. Dia juga terkejut dengan jeritan Sara. Malah boleh jadi jeritan Sara lebih mengejutkan daripada perlanggaran pesawat dengan tompok-tompok awan. Sesekali wanita itu memandang ke arah telefon, menggosok-gosok skrin paparan.

“Ya lah. Saya memang mudah terkejut. Maaflah.” Jawab Sara. Dia menoleh pemuda di kanannya. Tidur. Sepertinya hentakan tadi tidak langsung mengganggu tidurnya.

“Apa yang awak sebut tadi?” Tanya wanita tersebut. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Jing (baca: Cing) pada Sara. Baru pulang dari Taiwan, menziarah anak perempuannya yang melanjutkan pengajian ilmu bahasa di sana.

“Saya memuji kebesaran tuhan.’ Allahu akbar’ bermaksud Allah Maha Besar.” Ujar Sara. Jing terkejut apabila pertanyaannya dijawab dalam bahasa Mandarin oleh Sara. Disentuh lengan Sara sambil dirinya tidak putus memuji kehebatan anak Melayu seperti Sara yang mampu menguasai bahasa asing dengan baik. Sara cuma memerhati wanita di sisinya. Pandangannya  lembut ke dalam mata wanita tersebut. Di dalam hati dia berdoa, mudah-mudahan ada manfaat di sebalik perkenalan mereka.

Jing mula bercerita tentang suasana di Taiwan, tentang anaknya, perniagaan yang dikendali dan hal-hal lain.  Mereka turut berkongsi tentang ilmu bahasa yang dipelajari anak Jing. Kebetulan, Sara juga pelajar jurusan bahasa, mudahlah dia menghadam perkongsian dan berkongsi pengalaman dengan Jing.

“ Sara belajar bahasa sahaja, ada belajar agama?” Tanya Jing.

“Ada juga. Tetapi tidak di dalam kelas. Ilmu agama secara khusus tidak termasuk dalam silibus pembelajaran saya.” Sara menyembunyikan hairan pada pertanyaan tersebut.

“Kenapa mahu belajar agama?”

Tidak sempat Sara memberi jawapan, Jing sudah menambah.

“Agama dan kehidupan sepatutnya dipisahkan. Bercakap tentang agama akan membuatkan kita gila.” Sara bersandar, menarik nafas dalam-dalam.

“ Mencampurkan agama dalam kehidupanlah yang menyebabkan kita tidak bahagia!” Kasar dengusan Jing, seperti ada beban berat yang ditanggung dirinya.

“Bagaimana maksud puan?”

 

Agama  membawa derita!

“Agama memberi panduan tentang kehidupan. Tetapi urusan beragama tidak patut dicampur adukkan dalam urusan kehidupan. Lihat saja perkahwinan yang dicampur aduk agama, ia tidak membawa bahagia, cuma derita!” Terang Jing.

Sara masih kurang faham. Dia seperti dapat merasa ada sesuatu yang tidak disebut secara terang oleh Jing.

“Maksud puan, orang yang berkahwin perlu mengasingkan agama daripada perkahwinan, begitu?”

“Benar.” Jing mengangguk.

“Kamu orang Islam kan? Saya tidak faham mengapa Islam selalu campur adukkan kehidupan dengan agama. Lihat kamu, belajar bahasa, belajar agama juga. Kahwin pun sama. Kahwin satu saja lah, kalau ikut agama, perlu sampai empat!”

Sara menghela nafas. Dia sudah tahu apa yang mengganggu wanita itu. Jing masih bersandar rapat di kerusinya. Jarang-jarang dia menoleh Sara. Hanya tangannya yang bergerak-gerak menambah ‘perisa’ terhadap penjelasannya.

“ Oh, poligami rupanya!” Sara membetulkan duduknya, mengambil posisi lebih selesa.

“Puan tahu kenapa Islam benarkan poligami?”

“Tuhan awak suruh lah.” Cepat Jing menjawab. Mungkin itu jawapan yang sudah sedia ada dalam mindanya.

“Ya, Allah suruh. Tetapi bukan ke atas semua orang. Bukan setiap perkahwinan akan berlaku poligami.”

“Betul ke?” nada Jing berbaur curiga.

“Betul. Islam adalah agama yang mencegah. Poligami ini satu kaedah pencegahan terhadap masalah yang lebih memudaratkan. Ia berupa solusi yang Allah sediakan, itu pun sekiranya ada keadaan atau masalah yang timbul, baru solusi ini digunakan.”

Jing menampakkan minat. Pandangannya dihadapkan kepada Sara. Kepalanya senget sedikit, memandang gadis muda di kanannya.

 

Poligami itu solusi?

“Apa keadaan yang membenarkan poligami?”

“Seperti saya kata tadi, bila ada masalah. Puan ada perniagaan kan? Dan perniagaan ini adalah perniagaan warisan keluarga puan. Puan mewarisi perniagaan ini daripada ayah puan dan berharap untuk mewariskan ia kepada anak puan pula nanti. Contoh, bagaimana jika puan tidak mampu melahirkan zuriat? Sedangkan zuriat dalam keadaan puan sangat perlu bukan sahaja sebagai cahaya kebahagiaan keluarga, malah penyambung legasi perniagaan, pewaris harta keturunan dan sebagainya. Tambahan, suami pula memang berkehendakkan zuriat. Di sinilah keperluan poligami.”

Sara menjeling pintu kecemasan dalam pesawat. Kebetulan, tempat duduk mereka betul-betul di tepi pintu kecemasan ini. Sara teringat analogi ustaz Pahrol berkaitan poligami.

“Puan nampak pintu kecemasan tu?”

“Ya.” Jing kehairanan.

“Puan tahu kenapa ia diwujudkan?”

“Sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan dalam pesawat.”

“Puan setuju kalau sesebuah pesawat tu, tak ada pintu kecemasan?”

“Eh, mana boleh, bahaya lah macam tu. Kalau apa-apa jadi, bagaimana?

“Bagaimana pula kalau pintu itu sentiasa terbuka?”

“Ish, itu lagi bahaya! Kalau terbuka sahaja saya dan kamu tidak ada di sini lagi.”

Sara senyum.

“Begitulah poligami yang Allah ‘letakkan’ dalam Islam.”

Jing mengangguk-angguk. Ada senyuman di bibirnya.

“Tetapi tak semua rumah tangga menganggap tak ada zuriat itu masalah.” Tanya Jing.

“Kalau bukan masalah, poligami tidaklah jadi salah satu pilihan.”

“ Selain masalah, poligami itu dipilih atas sebab apa?”

Sara menyentuh lengan Jing.

“Poligami berupa pilihan terbaik daripada melakukan maksiat. Pilihan untuk menghalang mudarat yang lebih besar. Jika zuriat menjadi masalah dalam sesebuah rumah tangga, ia boleh jadi punca keretakan, curang, khianat, zina, pelacuran, skandal…”

Belum sempat Sara menghabiskan ayat, Jing mencelah.

“Poligami juga satu bentuk pengkhianatan pada pasangan.”

“Saya nak tanya. Masa Yusuf khianat pada organisasi syarikat, dia ada jumpa puan dan ahli lembaga lain ajak berbincang tentang rancangan dia?”

Sara mengingat kembali kisah salah seorang pekerja Jing, Yusuf yang menggelapkan wang syarikat. Mujurlah Jing ada menceritakannya pada Sara, kalau tidak terkial-kial juga Sara hendak memberi jawapan yang mudah difahami.

Jing seakan-akan terkejut. Lambat-lambat dia menggeleng.

“Yang khianat, tak akan minta izin untuk khianat. Dalam hal poligami, perbincangan antara pasangan, keluarga adalah sangat digalakkan. Saya beri empat sebab mengapa digalakkan berpoligami secara terbuka, tidak bersembunyi atau sorok-sorok daripada isteri pertama dan orang lain.”

Jing ketawa. Dia memegang bahu Sara.

“Kamu nampaknya suka sangat pada angka empat.” Sara turut ketawa.

 

Sembunyi ke terus –terang?

“Baik, kita ambil kes seorang suami beristeri dua. Hendak menguruskan dua rumah tangga ini, perlukan seorang suami yang bijak mengawal dan mengatur urus keperluan dua orang isteri, bijak mengambil hati dan bertolak-ansur dengan kekurangan dan kelebihan kedua-duanya. Bukan isteri sahaja, malah hubungan antara anak-anak, keluarga mertua, teman taulan kedua-dua isteri  juga perlu dijaga. Untuk mencapai tujuan ini, kemahiran berbincang lah yang paling utama. Lelaki yang berjaya meraih kebenaran isteri pertama melalui jalan perbincangan membuktikan dia memiliki ilmu berbincang yang sangat tinggi. Ini membuktikan dia boleh menangani dua orang isteri secara terbuka, malah boleh membahagikan peranannya sebagai suami kepada dua orang wanita tersebut.

Kedua, tindakan berterus-terang mengelakkan suami daripada membohongi isteri. Suami yang berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri ini biasanya akan menipu untuk ke rumah isteri yang seorang lagi. Si suami tidak hanya menipu isteri, malah telah mengkhianati kepercayaan. Pembohongan ini akan sedikit demi sedikit menurunkan iman dan ciri islami dalam diri si suami. Suami yang memilih berpoligami secara sembunyi-sembunyi, pada pandangan saya, seorang yang tidak bijak mengurus situasi, tetapi hanya menonjolkan kebijaksanaan menipu.

Ketiga, dengan berterus-terang, ia mempamerkan keikhlasan suami terhadap isteri yang pertama dan bakal isteri. Jika poligami itu benar dijalankan sebagai penyelesaian masalah dalam rumah tangga, ini membuktikan suami mengusahakan satu jalan yang murni dalam menghadapi masalah tersebut.

Dan yang terakhir, berterus-terang dapat mengelak berlakunya fitnah terhadap isteri, suami, rumah tangga dan Islam itu sendiri. Ia mengelakkan orang ramai menyangka yang bukan-bukan jika terserempak suami berada di rumah isteri kedua. Tidakkah ini satu mudarat besar yang hendak dielakkan dan sepatutnya jadi tujuan berpoligami? ”

Panjang lebar penerangan Sara. Jing tetap tekun mendengar. Dia mengangguk-angguk pada setiap poin yang diberikan Sara. sekali-sekala dia ketawa dengan beberapa sebutan perkataan Mandarin Sara yang salah dibunyikan.

“Perkahwinan yang disandarkan pada agama yang benar, pada Allah, akan membuka jalan yang membahagiakan. Kerana agama yang benar akan menyediakan jalan dan panduan ke arah kebahagiaan. Kalau perkahwinan dipisahkan daripada agama, apa lagi panduan yang kita ada? Atas sebab itu, tidak wajar untuk memisahkan agama daripada kehidupan sedangkan agama itu sendiri adalah panduan untuk menjalani hidup.”

Sara berusaha mengaitkan perbincangan itu pada pendapat jing awal tadi, iaitu agama dan kehidupan perlu dipisahkan.

“Betul juga.” Jawab Jing.

 

Poligami berat sebelah!

“Wah, sebenarnya poligami ini satu sistem yang sangat bagus.” Jari telunjuknya diletakkan di bibir, mengangguk-angguk.

“Tapi kenapa empat?” Tiba-tiba dia menyoal.

“Sebelum Allah turunkan ayat tentang poligami dalam al-Quran, poligami memang sudah diamalkan. Lelaki pada masa itu ada bilangan isteri dan hamba perempuan yang tidak terhad bilangannya. Jadi, Islam datang dan mengehadkan bilangan ini kepada empat, mengambil kira kemampuan seorang suami mengendali dan mengurus sesebuah rumah tangga dan demi menjaga wanita daripada dizalimi. Bayangkan kalau tidak dihadkan poligami, jika seorang suami itu ada 30 isteri, sebulan sekali baru isteri pertama mendapat gilirannya, itu pun jika lelaki itu adil. Allah yang menciptakan kita, dia tahu kemampuan kita sebagai manusia.”

“Ohhh, betul juga.”

“Maaflah kalau saya tanya lagi, kenapa lelaki sahaja yang boleh berpoligami? Bukankah tidak adil begitu?”

Sara bersandar. Menutup mata sejenak. Dia kemudian mengalih badannya menghadap sedikit pada Jing.

“Lihat jari saya.” Pinta Sara. Empat jari tangan kanannya diangkat, sementara tangan kiri mengangkat jari telunjuk.

“Empat orang wanita ini, kalau mengandung, siapa ayah kepada anaknya?”

Sara menggerak-gerakkan empat jarinya. Sengaja mengundang lucu pada perbualan yang hakikatnya agak menekan.

Jing menyentuh jari telunjuk Sara dengan jari telunjuknya.

“Baik, kita tukar. Sekarang, yang satu ini wanita. Kalau dia mengandung, siapa ayah kepada anaknya?”

Jing ketawa.

“Mana nak tahu!” Wanita itu menyambung ketawa selepas menjawab soalan Sara. lama dia begitu. Sara ikut ketawa. Kedengaran tawa kedua-duanya dalam pesawat tersebut. Kebanyakan penumpang sudah tidur memandangkan jam sudah menghampiri 1 pagi.

“Kamu ini bijak, Sara.” Jing menepuk paha Sara.

“Masih ingat tadi puan tanya, kenapa saya nak belajar agama?” Jing mengiyakan.

“Supaya saya faham agama Islam dan berupaya beri penerangan kepada orang lain yang tidak tahu.” Jing mengangguk. Dalam diam, dia mengagumi anak muda itu. Berkali-kali dia memberitahu Sara bahawa ini kali pertama dia mendapat jawapan begitu baik berkait poligami.

 

Lelaki sama sahaja!

“Tetapi, banyak kes-kes isteri dan anak-anak  diabaikan dalam institusi rumah tangga yang mengamalkan poligami. Kamu tengok dalam TV, surat khabar… berita macam ni memang ada disiar. Malah ada juga kawan-kawan Islam saya yang berpoligami, tetapi tidak bahagia. Ini pula bagaimana?”

Sara berpeluk tubuh. Sejenak kemudian memegang kedua belah lututnya. Terasa kebas.

“Yang disiar dalam akhbar dan media adalah kes-kes terpencil. Sedangkan ada ramai lagi yang berpoligami dan bahagia, tetapi tidak dilaporkan. Pernah puan dengar laporan berita 2.3 juta pengguna jalan raya selamat tiba di rumah masing-masing?”

“Tidak”. Ujar Jing.

“Yang kemalangan di satu dua tempat itulah yang diambil jadi bahan berita kan?”

“Betul juga. Em…”

Sara menambah lagi.

“Rumah tangga yang monogami pun ada banyak masalah. Kebanyakan kes permohonan cerai di mahkamah juga melibatkan kes-kes rumah tangga monogami. Ada pun kes-kes suami berpoligami yang menzalimi isteri, kita perlu lihat balik bagaimana sifat lelaki tersebut. Bagaimana amalan agamanya, bagaimana hubungannya dengan keluarga isteri pertama  sebelum berpoligami, apa yang menjadi sebab poligami… Kadang-kadang, walaupun agama sudah beri panduan, masih ramai yang enggan patuh dan ikut panduan yang diberikan. Contoh, lelaki yang hendak berpoligami bukan saja perlu mampu dari segi wang, tetapi perlu juga seorang yang baik hubungannya dengan Allah, menjaga solat, menunaikan hak-hak manusia di bawah tanggungannya… Apa yang terjadi, ramai yang endahkan syarat kedua. Yang penting ada duit, maka itu sudah jadi kelayakan mutlak. Sudahnya, bila perkahwinan gagal, semua orang menyalahkan poligami, menyalahkan perkahwinan, menyalahkan agama dan tuhan. Hakikatnya, itulah yang terjadi bila agama cuba diasingkan dari kehidupan!”

 “Lelaki semua sama saja. Kahwin satu pun mereka boleh pukul isteri, dera, balik rumah mabuk-mabuk lepas tu marah isteri. Kalau kahwin dua, tiga, entah apa lagi.” Bunyinya seakan kecewa. Sara sekadar senyum.

“Saya sebut tadi, Islam adalah agama yang mencegah. Hendak berkahwin pun Islam beri panduan pemilihan calon suami, apatah lagi berpoligami. Suami yang baik adalah yang mempunyai agama yang baik. Seorang Muslim yang baik adalah yang meletakkan Allah pada tempat tertinggi dalam setiap urusan, melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Jadi, kalau dari awal kita sudah ada panduan, kenapa masih mahu memilih lelaki yang minum arak, yang tidak menjaga solat, puasa dan amalan-amalan yang lain? Sebagai seorang Islam, mereka yang tidak taat pada perintah Allah seperti sedang lemas dalam lautan dosa-dosa. Bayangkan, bagaimana orang yang lemas mahu membantu orang lain?

“Oh, tidak mungkin! Itu untuk kahwin satu ke poligami?”

“Itu untuk calon yang diajak berkahwin termasuklah poligami. Katakanlah ada seorang lelaki datang melamar anak puan untuk dijadikan isteri kedua, pasti puan pun akan melihat ciri-ciri lelaki tersebut. Adakah dia seorang pemabuk, kaki pukul, kaki judi dan sebagainya. Em, tetapi untuk poligami, ada ciri tambahan.”

“Ciri tambahan?”

“Ya. Tidak cukup sekadar baik dalam beragama, lelaki tersebut mesti mampu dari segi keadilan terhadap pasangan, mampu dari segi kewangan, mampu bertolak-ansur dan menyelesaikan masalah rumah tangga, mampu dalam segenap segi. Dalam hal poligami ini , Allah sudah sebut dalam al-Quran,

“…kahwinilah wanita yang kamu suka, dua, tiga atau empat. Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, kahwinilah seorang saja…”

Sara cuba mengingat terjemahan ayat tersebut dengan baik. Dia tahu ia dari surah an-Nisa’, surah ke 4 dalam al-Quran, tetapi kurang pasti ayat ke berapa dan terjemahan penuh ayat tersebut. Jing menganggung-angguk faham.

“Em, jadi lelaki ini tak semuanya sama. Takkan sama yang lemas tadi dengan yang menghulur tangan beri bantuan. Sebagai Islam, takkan sama yang beriman dengan tidak beriman.”

Sara mengerdip mata pada Jing.

“Tapi zaman sekarang bukan senang nak jumpa yang baik seperti yang kamu gambarkan.”

“Memang begitulah sifat kebaikan. Yang baik selalunya sedikit. Beruntung kan orang yang dapat mereka yang sedikit ini?”

 “Kamu jangan kahwin selagi tak jumpa yang sedikit ini ya, Sara. Saya percaya tuhan akan beri kamu pasangan yang baik.”

“Mudah-mudahan, insyaAllah.” Sara senyum. Jing juga senyum. Di akhir pertemuan, kedua-duanya saling berbalas nombor telefon. Jauh di sudut hati, Sara mendoakan ada cahaya kebenaran dan kebaikan buat Jing.

 


Leave a comment

Street Dakwah: Perbualan dengan pemuda Cina

6 Muharram.

Pagi biasa. Matahari masih terbit dari sebelah sama. Yang luar biasa ialah pada pengisian hari ini. Sejak sahabat akrab saya pulang ke negeri kelahiran, sengaja hujung minggu diisi dengan lebih banyak kuliah-kuliah ilmu sekitar Kuala Lumpur. Saya belum biasa sahabat akrab saya ini jauh dari saya, maka saya sibukkan diri supaya tidak terlalu ingat padanya. Ketegangan menghadap tugasan akademik juga saya kira perlu dilempiaskan. Dan baiklah jika ketegangan itu dilempiaskan benar pada tempatnya – yang ada redha Ilahi.

Beberapa hari lepas ke Setiawangsa, hadir ceramah umum ajaran Syiah dilanjutkan dengan kehadiran Dr Zakir Naik ke Putrajaya. Syukur Alhamdulillah, minggu ini sempat saya berkenalan dengan teman-teman yang begitu cintakan majlis ilmu. Malahan, kelompok teman baru saya ini ghairah benar bila berbincang hal-hal akidah dan masalah umat. Masing-masing berlumba-lumba berkongsi ilmu dan hikmah. Nyatalah, ilmu yang bermanfaat ialah apabila disampaikan, akan lebih mendekatkan kita pada Allah.

Lalu minggu ini, kami turut serta ke program Street Dakwah (SD)  anjuran Maaruf Club UIAM. Tiada siapa antara kami yang pernah tahu tentang SD. Apa pengisiannya, bagaimana programnya akan dikendali, siapa yang mengendali dan apa mungkin cabaran yang bakal dihadapi, semua ini di luar jangkaan dan pengetahuan kami. Demi keinginan untuk ber-SD, soal-soal ini kami ketepikan. Lagi pula, itu cuma sangka-sangka kami bertiga. Sebelum keluar SD, kami tekuni beberapa konsep dan pendekatan dakwah yang sesuai dengan mad’u sasaran. Kami mahu mendekati non-Muslim, dengan hajat mahu membersihkan salah faham terhadap Islam dan menyampaikan Islam sebagai agama yang benar. Rujukan-rujukan berpotensi kami kumpulkan dan setiap seorang menyampaikan ulasan berkait soal jawab yang sering ditanya tentang Islam. Ah, enak sekali diskusi-diskusi begini. Saya anggap ini usrah mini yang dikendali secara khusus untuk berdakwah.

Maka dengan lafaz bismillah, kami mulakan langkah pertama dengan niat kerana Allah.

Kisah ringkas di bawah ini merupakan sedikit rakaman perbualan antara saya dan seorang pemuda berbangsa Cina dari Tanah Besar China.

 ***********

Tuhan tidak adil?

“Tuan percayakan Tuhan?”

Dia ketawa. Risalah jualan yang dipegang dilipat-lipat. Seperti dirinya sedang jauh memikirkan apa dan bagaimana soalan ini harus ditanggap.

Separuh merenung lalu lintas, dia menjawab, “Ya, saya percaya tuhan ada, tetapi saya tetap tidak percaya pada tuhan”.

“Mengapa?” Dalam hati, tidak berhenti saya mengumam selawat dan salam kepada rasul junjungan, memohon agar Allah melancarkan bicara dan dikuatkan hati menempuh apa sahaja soalan kemungkinan.

“Baiklah, kita sama-sama setuju bahawa tuhan itu ada dan dialah yang menciptakan kita. Saya tiada masalah tentang hal ini. Yang mengecewakan saya, jika tuhan itu adil, kenapa manusia dilahirkandalam agama berbeza? Pernahkah kita ini diberi pilihan untuk dilahirkan dalam keluarga yang bagaimana, memilih siapa ibu dan ayah kita?”

Saya diam. Dia juga sama. Saya jujurnya belum punya jawapan baik untuk diberikan padanya saat itu, Dari awal pertemuan, saya belum pasti, apakah agama yang dianuti pemuda ini. Sekadar bersangka-sangka, mungkin saja dia buddhis memandangkan dia berbangsa cina. Saya cuma meneka.

“Tidak cukupkah akal yang dibekalkan Allah ini sebagai bukti keadilan bagi tuan? Jika Allah menzalimi manusia dalam hal keadilan, mengapa masih diberi akal sebagai alat penilaian ketika membuat pilihan?”

Dia mengangguk. Anggukannya tidak sesekali bermakna dia setuju. Sengaja saya gunakan nama Allah sebagai rujukan khusus kepada tuhan dalam perbualan kami.

“Ya, tuhan, Allah, atau apa sahaja namanya, menciptakan manusia dengan akal. Pakej ini lengkap untuk menjalani kehidupan.”

Saya separuh senyum sambil mempamer mimik berminat pada hujahnya. Saya senyum kerana sebutan ‘Allah’ kedengaran agak janggal bila diujarkan oleh seorang penutur Mandarin Tanah Besar.

“Mahukah saudari menerima pandangan saya ini jika saya katakan bahawa sebaik sahaja Allah mencipta manusia beserta akal ini, diberi nyawa dan sebagainya, Dia ‘melepaskan’ kita ke dunia ini sewenang-wenangnya?”

Tepat dia memandang anak mata saya. Beberapa saat sehingga saya alihkan pandangan kepada orang awam yang lalu-lalang.

“Di mana-mana bahagian dunia ini manusia ‘dilepaskan’, di situlah kita akan memulakan kehidupan. Yang memandu kita ketika di dunia bukan lagi tuhan. Tetapi diri kita sendiri. Dengan kudrat dan keinginan kita sendiri. Dengan alat yang saudari sebut tadi. Akal inilah. Akal ini.”

Berkali-kali jari telunjuknya diacukan pada bucu kiri dahi. Memberi penegasan soal peranan akal dalam diri manusia inilah yang memandu kehidupan di muka bumi, bukan tuhan.

“Begitukah? Saya kurang faham.” Saya pamerkan minat pada pandangannya.

Mengatakan ‘kurang faham, ‘keliru’ atau menunjukkan minat pada pandangan tidak bermakna saya setuju atau mengiakan pendapatnya, namun ia lebih kepada pendekatan mengajak kepada perbualan yang lebih panjang dan mendalam. Pada hemat saya, penting bagi seorang pendakwah menunjukkan minat pada pandangan mad’u. Selain menjadi kayu ukur kepada peribadi, kefahaman dan pola fikir mad’u, ia satu tanda meraikan pandangan yang diberikan. Inilah penghargaan kecil yang besar kesannya dari sudut psikologi kebahasaan.

“Salahkah jika saya katakan, saudari berada di sini hari ini kerana kehendak saudari sendiri? Saudari gunakan akal saudari untuk mengarahkan agar kaki, tangan, badan, diri saudari untuk berada di sini, saudari berusaha ke sini, dengan tenaga saudari sendiri. Begitulah maksud saya. Kita yang mengendali diri kita, hidup kita. Allah yang saudari sebutkan tadi tidak buat apa-apa. Dia lepas tangan.”

Maha Suci Allah daripada apa yang dikatakannya.

“Begitukah?” Saya menduga. Sambil di dalam minda, merancang jawapan beserta susun atur ayat.

“Ya.” Nadanya sedikit tinggi daripada sebelumnya, yakin.

“Kalau begitu baiklah saya pulang nanti cuba mengarahkan anggota saya seperti yang tuan sebut.”

“Sekarang juga boleh dibuktikan, lihat bagaimana saya mengawal tangan saya supaya diangkat, diturun, digoyang kanan kiri!” Gembira sekali dia memberi demonstrasi kawalan tangannya.

“Jadi manusia berupaya mengawal fungsi dan gerak laku tubuh badan? Proses saraf-saraf otak yang berhubung sewaktu tuan hendak mengangkat tangan, sedang mengangkat dan kemudian menjatuhkannya dikawal tuan sendiri, begitu? Jantung yang berdenyut setiap saat, hatta sewaktu kita tidur juga? Bolehkah tuan kawal otot mata tuan supaya tidak berkelip sepanjang saya ada di sini? Atau menghentikan terus jantung daripada berdenyut sekarang? Jika benar, ajarlah pada saya supaya denyutannya boleh saya hentikan sepanjang tidur dan berdenyut semula bila saya bangkit esoknya.”

“Errr….” Pemuda menggosok perlahan pahanya.

***Ini akan jadi sesi perkongsian panjang yang menarik, saya fikir. Menariknya kerana saya mula belajar memahami corak fikir orang lain. Yang kurang menariknya, saya lebih banyak mendengar dan bertanya daripada memberi jawapan. Soalan keadilan tuhan ini  berlalu begitu sahaja kerana tidak mampu saya selesaikan.

Menghidupkan kehidupan

“Sepertinya menurut tuan, hidup kita di sini hanya secara kebetulan. Sewenangnya-wenang bernafas dan mati di bumi Allah, begitu?”

“Benar. Begitu menurut saya. Dan itulah tujuan wujud kita. kita cuma perlu hidup. Pernah saudari dengar tentang ‘live life’?”

Dia mengejanya dalam sebutan pelat Cina yang begitu pekat. Saya mengangguk.

“Itulah tujuan kita di sini, untuk menghidupkan kehidupan atau melalui kehidupan. Hiduplah selagi kita bernafas, bernyawa. Kita menghidupkan melalui aktiviti harian kita ini. Saya, saudari sendiri, mereka semua di seberang jalan sana dan di mana-mana bahagian di bumi ini melakukannya. Kita makan, minum, tidur dan sebagainya untuk menghidupkan life. Jika sudah tiba masa untuk kita dijemput tuhan, kita akan mati. Mati bermakna hidup yang perlu kita hidupkan tadi sudah tidak perlu.”

“Mahukah saya beritahu tujuan hidup menurut saya?” Dia ketawa. Beberapa orang yang lalu lalang menoleh ke arah saya dan pemuda.

“sila,” pintanya.

“Sebagai hamba Allah, saya percaya bahawa tujuan kehidupan ini adalah untuk beribadah kepadaNya. Ini disebutkan dalam al-Quran, kitab pegangan orang Islam, bahawa Allah berfirman tentang penciptaan jin dan manusia itu tidak lain hanya untuk beribadat padaNya.”

“Jadi saudari tidak sependapat dengan saya dalam soal kehidupan yang saya katakan tadi?” Saya menggeleng-geleng perlahan. Dia mahukan sudut pandang saya, ujar hati.

“Saya setuju pada sebahagiannya, tidak pada poin-poin yang lebihnya.” Mungkin menarik baginya apa yang bakal saya katakan, dia memusingkan sedikit badannya agar menghadap saya.

“Saya setuju jika dikatakan bahawa hidup kita ini untuk menghidupkan kehidupan yang Allah beri. Berbalik pada pandangan saya, iaitu hidup manusia ini adalah semata-mata untuk beribadah pada Allah, saya melihat bentuk kehidupan ini bukanlah dilalui secara sewenang-wenang. Sewenang-wenang bererti kita melalui hari-hari dalam kehidupan tanpa tujuan sedangkan tuan sendiri kata tujuan hidup adalah untuk menghidupkan kehidupan.

Bangun dari tidur, makan, minum, berpakaian, keluar bekerja, belajar, bersahabat, berumah tangga atau apa sahaja aktiviti hari-hari, itulah keadaan manusia menghidupkan kehidupan menurut tuan. Namun itu cuma aktiviti untuk memenuhi keperluan hidup. Belum lagi mencapai tujuan hidup. Oleh itu, berpandukan al-Quran, Allah menyeru agar segala aktiviti-aktiviti kehidupan ini manusia pusatkan kerana Allah, dinisbahkan dengan niat beribadah kepada Allah. Di situlah saya melihat tujuan hidup.

Jika tujuan hidup hanya dilihat pada menghidupkan kehidupan atau dalam contoh ringkas untuk makan, minum dan tidur, apakah pula tujuan untuk makan, minum dan tidur ini?”

“Untuk hidup pada hari keesokannya seperti hari semalam.” Ringkas jawapannya. Logik sebagai sokongan pendapat awal pemuda ini, fikir saya.

“Dan akhirnya bila sampai masa mati, manusia mati begitu saja? Apa pula tujuan mati?” Berkerut keningnya memandang saya, mempersila jawapan melalui gerak tangan seakan menjemput. Saya faham, dia mahu saya saja yang memberi jawapan.

“ Untuk Allah. Untuk beribadah pada Allah. Segala bentuk aktiviti yang tuan sebutkan tadi, adalah untuk memenuhi tujuan beribadah kepada Allah. Dan tujuan mati, agar kita dapat bertemu Allah, memulakan kehidupan baru di syurga yang dijanjikan bagi orang-orang yang sabar dan beriman.”

***Saya usahakan sebaiknya menyusun ayat yang boleh difahami dan boleh menggambarkan pandangan saya dengan tepat. Tidak mudah bagi saya untuk menerangkan pandangan dalam bahasa Mandarin. Penjelasan saya kerap kali terganggu apabila saya mencari-cari perkataan yang tepat. Setiap kali itu juga, dialah juga yang terpaksa bertindak menjadi penasihat bahasa bagi saya. Sama halnya ketika dia memberi pandangan, beberapa kali saya minta dihentikan seketika agar saya boleh tanyakan maksud beberapa perkataan yang digunakan. Itu kelemahan saya.

Walaupun bahasa Mandarin bahasa kedua saya, masih bahasa Melayu jugalah yang mampu menjadi medium penyampai buah fikir saya secara objektif, tidak tersasar daripada maksud sebenar yang mahu saya sampaikan. Masalahnya, pemuda ini hamba Allah dari China yang meninggalkan keluarga dan berhijrah ke Malaysia. Malah Mandarinnya masih begitu pekat walaupun sesekali saya dapat menangkap usahanya untuk meminimakan sebutan perkataan kepada Mandarin versi Malaysia.

Mengapa beribadah kepada Allah?

Saya kiranya mahu menghentikan pandangan saya setakat itu dan menanyakan soalan-soalan lain padanya. Rupanya, pandangan yang saya utarakan itu berhenti cuma sekejap, memberi laluan untuk saya dan dia minum sedikit air kerana perbualan yang panjang. Mungkin masa ‘rehat’ itu digunakan oleh pemuda untuk berdialog dengan dirinya, menimbang-nimbang pandangan saya tentang soal kehidupan. Mungkin juga timbangan itulah yang menyebabkan dia bertanya,

“Mengapa perlu beribadah kepada Allah?” Saya tidak terus menjawab. Penutup botol saya sarungkan pada mulut botol, dipusing perlahan sambil dalam hati saya memohon Allah terus memberi panduan.

“Jika saudari kata makan, minum, tidur dan aktiviti lain itu sebagai cara untuk mencapai tujuan beribadah kepada Allah, apa pula tujuan beribadah pada Allah? Jika menurut saudari, pandangan saya tentang menghidupkan kehidupan melalui makan, minum, tidur itu belum lagi mencapai tujuan hidup, maka dengan memberi jawapan beribadah kepada Allah itu juga belum mencapai tujuan hidup bagi saya.”

Saya menganggap itu huraian daripada soalan asalnya. Boleh jadi, dia menafsirkan saya kurang jelas dengan soalannya.

“Bismillah,” dalam hati.

“Awal tadi semasa saya tanyakan tentang tuhan, tuan kata, tuhan itu ada walaupun tuan tidak percayakan tuhan kerana ketidakadilanNya. Tuan juga kata bahawa tuhanlah yang menciptakan manusia beserta dengan alat – alat lengkap sebelum ‘dilepaskan’ di dunia.”

“Ya. Memang begitulah maksud saya.”

“Kalau begitu, sebagai tuhan yang menciptakan manusia, apakah hak mutlak tuhan?”

Dia mengangkat bahu.

“Sebagai yang menciptakan, terpulanglah pada tuhan mahu meletakkan peraturan yang bagaimana. Seperti mana pereka telefon saya ini, dialah yang meletakkan manual penggunaan telefon ini, menentukan bentuknya, berapa warna untuk setiap rekaan dan aplikasi yang dimuat ke dalamnya. Seperti juga pendapat tuan awal tadi, tuhan yang menciptakan tidak memberi kita pilihan untuk memilih ibu bapa, lahir di mana, keluarga yang bahagia atau tidak dan sebagai penganut agama apa. Kerana Dialah pencipta manusia, maka dengan sifat pencipta itulah Dia menetapkannya begitu. Seperti mana telefon ini tidak diberi pilihan, manusia tidak juga diberi pilihan dalam hal-hal menentukan keadaan dirinya yang dicipta.”

“Jadi, saudari maksudkan, beribadah kepada Allah itu tujuan hidup yang sudah Allah tetapkan untuk ciptaanNya?”

“Ya.”

***Sayangnya, soal jawab berkait tujuan hidup ini berhenti begini sahaja tanpa saya perkenalkan kepadanya siapa Allah sebagai tuhan Yang Maha Esa. Malah, jawapan isu ketidakadilan juga masih dibiar tergantung begitu saja. Saya mengakui kelemahan diri yang belum berupaya untuk menghala perbualan kepada memperkenalkan Islam.

Muslim menyayangi Jesus Christ?

“Adakah tuan tahu bahawa seseorang Muslim menyayangi Jesus Christ?”

Riak wajah pemuda ini berubah. Jelas sekali di wajahnya kekeliruan  yang mengkehendaki jawapan. Saya sudah menyusun ayat, bersedia menjawab soalan seterusnya. Teragak-agak dia membalas.

“Betulkah?” Saya mengangguk.

Bagaimana dua nabi daripada agama yang berbeza…” Dia memperlahankan nada, jari telunjuknya ke kanan kiri seperti sedang mengira-ngira sesuatu.

“Jesus dan Muhammad adalah teman seperjuangan. Mereka ibarat dua orang pelajar dari sekolah yang sama.” Saya memberi balas tanpa menunggu dia menghabiskan ayat.

“Mana mungkin begitu. Saudari seolah-olah menganggap Kristian dan Islam adalah agama yang sama. Jika Jesus dan Muhammad saudari katakan sebagai teman seperjuangan, rakan sekolah yang sama, adakah sama sekolah Kristian dan sekolah Islam? Saya keliru.

Apakah saudari tahu tentang betapa agama Kristian itu sebuah agama yang mengelirukan? Apakah saudari tahu ajaran gereja Kristian banyak bercanggah dengan apa yang tertulis di dalam Bible?

Saya tidak pernah percaya pada agama ini. Saya tidak pasti siapa yang berdusta dalam beragama dalam agama Kristian, sama ada Bible atau gereja, saya tidak tahu.”

“Kita abaikan dulu soal ajaran Kristian yang mengelirukan tuan. Kembali kepada hubungan Jesus dan Muhammad, saya akan jelaskan pada tuan.” Dia setuju. Sesekali saya toleh dua orang sahabat yang sudah berganti mad’u. Sedang saya, masih bersama pemuda ini sejak mula sampai di kawasan Bukit Bintang.

“Saya katakan kedua-duanya rakan seperjuangan sekolah yang sama kerana mereka memang dari sekolah yang sama, bukan sekolah berlainan seperti yang tuan sebutkan. Dalam Islam, Jesus merupakan salah seorang daripada 25 utusan Allah di muka bumi. Kesemuanya 25 orang utusan ini wajib dipercayai dan disayangi. Nama Jesus mula dikesan dalam Bible berbahasa Yunani. Jesus dikenali dengan nama lain dalam terjemahan Bible yang lain mengikut bahasa daerah atau sebutan masyarakat di tempat versi Bible itu digunakan. Jesus dikenali sebagai Isa dalam al-Quran, kitab panduan orang Islam yang menggunakan bahasa Arab. Hakikatnya, Jesus yang disebut dalam Bible itu sama dengan Isa ibn Maryam di dalam al-Quran. Ada pun perbezaan kisah atau peribadi Jesus yang berbeza dengan Isa, ia merupakan penyelewengan pada Bible. ”

Jauh di sudut hati, saya harap penjelasan ini difahami. Percampuran bahasa Mandarin – Inggeris dalam soal Jesus ini saya khuatiri menjejaskan kefahamannya.

“Apakah benar kedua-duanya dari sekolah yang sama?” Yang bagusnya, dia masih mengekalkan perumpamaan ‘rakan sekolah’ yang saya bawakan ini. Mudah untuk dirinya memahami, mungkin. Di pihak saya, ia memudahkan penyampaian.

“Benar. Sekolah yang sama, misi dan visi, ikrar, lagu, peraturan malah pengetua sekolah juga sama. Seperti saya beritahu tadi, Jesus dan Muhammad kedua-duanya utusan Allah di bumi ini. Misinya sama, untuk mengajak manusia beribadah kepada Allah, inilah tujuan hidup yang kita bincang tadi, melalui peraturan yang sama, cara beribadah yang sama dan pengetua Jesus dan Muhammad juga sama, iaitu Allah tuhan yang Esa.”

Dia mengangguk-angguk sepanjang saya memberi penjelasan. Menurutnya, tidak pernah dia mendengar tentang perkara ini sebelum bertemu saya. Dia turut menceritakan kekagumannya kepada keperibadian Nabi Muhammad saw yang bijak mengendali dan menyelesaikan masalah umat Islam ketika Baginda masih hidup.

*************

Begitulah sedikit sedutan perbualan yang sempat saya ingat catat sepanjang SD. Dapatan penting daripada SD ini tidak sekadar beberapa persoalan yang dibincangkan di atas. Pelajaran daripada SD ini banyak. Antara yang menjadi bahan tarbiyah untuk diri saya ialah,

  1. Teruskanlah kerja dakwah ini. Ada ramai non-Muslim di luar sana yang dahagakan jawapan. Mereka tertanya-tanya tentang Islam. Keraguan dan persoalan yang dipendam itulah yang menimbulkan salah faham yang besar terhadap Islam. Kalaupun perkongsian kita tidak berjaya membuka hati mereka kepada Islam, sekurang-kurangnya, persoalan yang diberikan jawapan dan penjelasan yang baik akan dapat membersihkan imej Islam pada pandangan non-Muslim. Ingat, tugas kita cuma menyampaikan, sedang hidayah tetap milik Allah.
  2. Baiki peribadi dalam usaha mempersembahkan ajaran Islam yang menekankan kebaikan. Akhlak, adab dan bahasa, ketiga-tiganya saling berkait dalam membentuk peribadi  hasanah. Berusahalah sedikit demi sedikit dan istiqamah.
  3. Pernah satu tahap saya meragukan keperluan bahasa Mandarin ini sebagai satu nilai tambah pada diri saya. Hari ini, Allah seakan-akan memberitahu saya bahawa aturanNya tidak sia-sia. Bahasa Mandarin yang saya anggap tidak banyak fungsi, hari ini, menjadi medium untuk berdakwah. Allah-lah yang memudahkan pembelajaran saya semasa di SJK(C) dulu, dan inilah hikmahnya!
  4. Niatkan semua perkara kerana Allah. Jika niat kita tulus, insyaAllah kita akan tetap berada dijalan yang lurus!


Leave a comment

Suka hati sayalah!

Pernahkah kita bertanya pada diri kita, apakah pakaian hati kita semalam, hari ini dan untuk hari-hari esoknya? Hati juga, seperti mana tubuh badan, perlukan pakaian. Bayangkan jika tanpa pakaian, kita akan kesejukan, kepanasan dan mudah dijangkiti penyakit. Kita akan berasa tidak selesa. Bukan itu sahaja, tanpa pakaian, kita terdedah kepada bermacam-macam bahaya, bahaya dunia dan bahaya akhirat. Berpakaian juga dianggap salah satu ibadah dalam Islam yang mempunyai nilai dosa dan pahala. Oleh itu, pakaian dianggap sebagai sebahagian nikmat Allah pada kita.

“Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian daripada yang diciptakan-Nya, benda untuk berteduh dan Dia menjadikan bagi kamu sebahagian daripada gunung-ganang sebagai tempat berlindung, dan Dia juga menjadikan bagi kamu pakaian yang memelihara kamu daripada panas dan sejuk, juga pakaian yang memelihara kamu ketika berjuang. Demikianlah Dia menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya dan mematuhi perintah-Nya.” (Surah An-Nahl ayat 81)

 Jika begitu pentingnya pakaian untuk anggota yang zahir, pakaian juga penting untuk hati. Hati sangat dititikberatkan dalam Islam. Hatilah yang menjadi sumber kepada pemikiran, perasaan, dan segala perbuatan kita berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Hajj:

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati dapat berfikir atau mempunyai telinga yang dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada. “ (Al-Hajj: 46)

Pakaian untuk hati harus memenuhi tuntutan dan keperluan hati, sebagaimana pakaian tubuh badan yang memenuhi keperluan tubuh badan. Kita dianjurkan memilih pakaian yang baik untuk dipakai. Oleh itu, hati juga harus disarungkan dengan pakaian yang baik seperti mana anggota badan yang zahir.

Apakah pakaian terbaik untuk hati?

Sebelum ke pejabat mahupun ke sekolah, kita sarungkan pakaian yang indah, harum dan cantik di mata yang melihat. Kita pilih jenama terbaik agar diri lebih yakin di khalayak umum. Kita bukan sahaja mahu kelihatan lebih baik dan lebih cantik daripada orang lain, malah mahu pakaian kita ‘lebih’ dari segenap aspek daripada pakaian orang lain. Kita padankan warna yang sesuai dengan kulit, fabrik yang selesa dipakai dan sesuai dengan cuaca.

Pemilihan pakaian untuk hati sepatutnya melalui cara yang serupa. Sarungkan hati dengan zikrullah dan ketaatan pada Allah s.w.t. hati yang dihiasi rasa cinta pada Allah s.w.t akan berbau harum, malah lebih harum daripada bau pakaian dan anggota badan yang disemburkan wangi-wangian berjenama mahal. Sentiasa mengingati Allah merupakan lambang cinta kita padaNya. Sebagai mana kita berpakaian sepanjang masa sama ada kita baring, tidur, duduk, berdiri, berlari, makan, minum dan sebagainya, sebegitulah hati kita harus dipakaikan dengan kecintaan dan ingatan pada pemiliknya. Pakaikanlah zikir qalbi pada hati. Banyak bertasbih dan memuji Allah itu boleh mensucikan hati.

“Mereka ingat kepada Allah diwaktu berdiri, duduk, dan berbaring..“(Ali Imran: 191)

Dalam pemilihan pakaian, kita tidak akan memilih warna yang tidak sesuai dengan warna kulit atau warna yang tidak kita gemari. Ketahuilah bahawa hati tidak suka pada warna hitam. Warna hitam akan meninggalkan kesan yang gelap pada hati. Hati yang hitam ialah hati yang gelap kerana dicemari dosa. Pilihlah pakaian dari warna yang akan menerangkan hati. Sekiranya sudah terlanjur mengenakan warna hitam pada hati, buanglah pakaian tersebut jauh-jauh dari pandangan mata hati. Sucikanlah kesan hitam itu dengan taubat dan istighfar.

Pilihan fabrik yang sesuai dengan hati juga penting. Sebagaimana kulit, hati juga sensitif dan mengalami alahan jika kita tidak bijak memilih fabrik yang sesuai. Telitilah unsur yang sesuai bagi fabrik pilihan. Fabrik yang paling sesuai untuk hati ialah dari jenis kebaikan. Hati mudah alah pada kejahatan. Apabila dikenakan pakaian daripada fabrik kejahatan, hati mudah merasa cemas dan  tidak tenang. Masalah alahan ini lama-kelamaan akan menjadi kudis dan bernanah dalam hati sekiranya tidak segera dirawat. Segeralah sapukan krim alahan jika sudah ada tanda-tanda alahan pada hati. Adulah pada doktor Yang Esa dan kembalilah pada fitrah kebaikan yang dicintai hati.

Waabisoh ibn Ma’bad r.a. berkata:

Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda:Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis riwayat al-lmam Ahmad)

Pakaikanlah hati kita dengan amal kebaikan seperti bersedekah, menjalinkan silaturahim, membaca al-Quran dan terapi-terapi hati yang baik. Jika pakaian hati kita pada hari ini koyak di sana sini dan bukan daripada jenis fabrik yang berkualiti, tukarkanlah pakaian lain. Jahitlah bahagian yang terkoyak agar hati terlindung dan terpelihara. Seandainya kita tidak mampu menjaga dan menyediakan pakaian yang sesuai bagi hati, tidak mustahil hati kita tidak akan diserang penyakit-penyakit kronik yang sukar dicari penawarnya. Jika pakaian lahiriah dianggap penting dan besar pahalanya di sisi Allah, begitu juga pakaian hati yakni pakaian batiniah. Oleh itu, hati juga wajib dijaga seperti mana kita menjaga anggota tubuh yang lain. Penjagaan pakaian hati yang baik dan cemerlang, akan melahirkan muslimin yang lebih yakin diri dan lebih berketrampilan di khalayak manusia dan di sisi Allah, insyaAllah.

 “Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (Surah al-A’raaf, ayat 26)


Leave a comment

Hijrah: Nak teruskan ke tak nak?!

Berubah ke arah kebaikan memang tak mudah.

Kadang-kadang ada orang panggil kita ustaz/ustazah. Aminkan saja.

Kadang-kadang ada orang kata kita nak berlagak alim, tunjuk diri lebih baik daripada orang lain. Walhal kita kadang-kadang tak buat atau cakap apa-apa pun selain perkara yang asas. Ucap alhamdulillah, insyaAllah, bagi salam setiap kali bertemu dan berpisah itu pun jadi janggal bagi sesetengah orang.

Ada yang kata sekarang susah nak ajak kita berbincang, sebab sikit-sikit nak sandarkan pada hadis, al-Quran, sunnah dan ketetapan Allah. Walhal, kehidupan kita ini tidak terpisah walau seinci pun dengan agama. Doakanlah mereka, mudah-mudahan suatu masa nanti mereka dapat melihat dengan mata hati bahawa indahnya Islam ini pada kesyumulannya dalam setiap perkara.

Tak apalah. Mungkin betul kita ada berlagak sikit, atau memang ada perbuatan/perkataan kita yang benar-benar melambangkan kita sombong. Anggaplah semuanya teguran dari Allah dalam usaha kita memperbaik diri. Mohonlah pada Allah supaya dibersihkan hati kita dari sifat-sifat mazmumah.

Ada juga yang kurang selesa dengan kita yang sekarang dan lebih gemar menyebut-nyebut sifat dan sikap kita sebelum kita berhijrah. Walhal sebenarnya tiada apa yang berubah melainkan kita sedang berusaha meninggalkan keburukan dan meletakkan nilai kebaikan tambahan pada diri yang sedia ada.

Dan kita bukanlah tidak boleh diajak bergurau, tetapi kita menghadkan perkara gurauan supaya tidak ‘tergurau’ dengan perkara yang tidak wajar. Hal-hal keaiban dan maruah seseorang antaranya, tak gitu?

Kita pun tak kata kawan-kawan yang belum mahu berubah ke arah kebaikan ni tak baik, tak nak berhubung dan sebagainya. Cuma mungkin kadang-kadang dalam komunikasi bersama tu kita cuba sampaikan sikit-sikit nasihat dan berharap kawan-kawan ni sedar. Itulah yang selalunya jadi punca masalah. Walhal, mereka tak tahu betapa kita sayangkan mereka dan hubungan persahabatan sehingga mengharapkan ia berkekalan sampai ke syurga Allah.

Kalau kita tak kuat, kita akan tewas di peringkat macam ni. Mana tidaknya, kalau dah dalam sepuluh kawan-kawan, sembilan orang sisihkan kita, kita mesti rasa sedih, kecewa, terkilan. Masa beginilah syaitan main peranan. Suruh kita tinggalkan saja jalan yang kita pilih ni. Kadang-kadang nafsu kita berdetik untuk memilih kawan-kawan berbanding Allah.

Nampak tak kenapa kita perlu bergantung harap pada Allah secara total, bukan pada manusia? Sebab Allah tidak pernah menyisihkan kita walaupun kita dah celup rendam diri kita dalam tangki dosa yang muat untuk isi sekalian penduduk bumi. Malah Allah buka pintu taubat dan rahmatnya untuk kita siang dan malam. Tak cukup dengan itu, Allah beri kurniaan dan nikmat menurut ketetapanNya, cukup sempurna. Padahal manusia, sedikit sekali yang menyokong kita demi kebaikan. Sedikit sekali…

Jatuh bangun dalam jalan hijrah memang lumrah. Jatuh tak apa, jangan sampai kita jatuh tak bangun-bangun. Bangunlah, teruskan membaiki diri. Apa saja yang terjadi sepanjang proses ini, anggaplah semuanya ujian, tarbiah dan kadang-kadang teguran dari Allah yang Maha Penyayang. Jangan berputus asa dari rahmat Allah. Allah selalu ada untuk kita.

Ahli gusti kat WWF tu pun kalah game bukan sebab dia jatuh tau, tapi sebab dia dah tak nak bangun dan teruskan perlawanan. Jadi, kita macam mana? Nak teruskan ke tak?


Leave a comment

Madu kuhulur, racun yang kau lempar!

“Aku baik tau dengan sahabat-sahabat aku.Semua yang mereka mahu aku cuba dapatkan. Apa yang mereka perlu, aku cuba cukupkan. Tapi, bila tiba masa aku…”

Hajar diam. Tangannya di dahi, matanya layu memandang siling.

“Aku minta maaf. Aku juga sebahagian daripada mereka.”

“Aku tak maksudkan kau, Sara. Orang lain…”

“Ya, tetapi setidak-tidaknya pelajaran kepada orang lain itu pun perlu aku sematkan di dalam dada. Cuma yang perlu kau tahu, aku dan orang-orang lain itu manusia. Kami tak tak lepas daripada kesilapan.”

Nada Sara rendah. Mudah-mudahan ia berhasil sebagai pujukan kepada hati Hajar yang terluka.

“Aku bukan mengharap, tetapi tak bolehkah aku diberi sedikit penghargaan?”

“Siapa tempat kau berharap? Mereka atau Allah?”

“Mengharap Allah itu pasti, tetapi bila kebaikan yang kita buat dibalas tuba, aku rasa tak adil untuk aku…”

Sara pejam mata. Ada getar di dalam hati. Selalu perkara beginilah yang paling dia takuti. Takut perasaan begini singgah di sanubari, baik ke atas dirinya sendiri, mahupun kaum keluarga dan teman terdekat, seboleh-bolehnya isu baik dibalas tuba inilah yang cuba diperbetul persepsinya.

“Kita akan selalu kecewa jika harapan kepada manusia kita letakkan lebih tinggi daripada harapan kepada Allah. Allah itu Maha Baik, baik atau buruk sesuatu kejadian, pada setiapnya terkandung hikmah bagi yang berfikir. Boleh jadi, kebaikan yang dibalas kejahatan ini sebagai salah satu cara Allah untuk mengajar kita tentang ikhlas.

Ada juga kebaikan yang dibalas kebaikan tetapi nilainya tidak setimpal dengan kebaikan yang kita buat. Kalau nak dilihat pada nilai, sedikit atau banyak, tinggi atau rendah, kita akan rasa sukar untuk bersyukur.”

“Kau menyokong mereka yang buat begini pada aku? Mereka ini pun tidak bersyukur, kau tahu? Aku dah baik selama ini.”

Hajar beralih posisi, menghadap Sara di katil sebelah.

“Aku tak kata mereka betul. Memang apa yang mereka buat itu salah dan tidak patut sebagai seorang Muslim. Masih ingat usrah lepas kita pernah bincang bahawa Allah suruh kita sentiasa berbuat kebaikan?

“Dan berbuat baiklah kepada ibu-bapak, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil (orang yang bepergian) dan hamba sahayamu (pembantu).” [4: 36]

Tetapi, macam mana dalam keadaan kau, apa patut dilakukan bila kebaikan dibalas kejahatan? Allah jawab dalam al-Mukminun:

“Balaslah perbuatan buruk mereka dengan yg lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan.” [23:96]”

Hajar hela nafas. Bunyinya seakan mengeluh. Lama dia memandang Sara, sahabat akrab yang jarang sekali dilihat bermasam muka. Kadang-kadang dia sendiri tidak pasti apakah Sara tidak pernah dirundung masalah.

“Mungkin kerana apa yang diucapkannya selalu dia amalkan, mungkin.” Getus hati Hajar.

“Apa aku dapat, Sara? Mampukah aku terus bertahan? Kesabaran aku ini pun ada batas, lama-lama boleh kalah juga,”

“Apa yang kau dapat, Allah dah bagi. Kadang-kadang kita diuji dengan sahabat-sahabat yang jahat pada tanggapan kita tadi, tetapi pada sudut lain, Dia sukupkan nikmat yang berganda. Rezeki yang tidak putus, makan pakai sempurna. Malah, dalam sepuluh orang sahabat, masih ada seorang dua yang sayangkan kita, boleh jadi lebih lagi kasihnya berbanding mereka yang lain tadi. Kadang-kala kebaikan itu tak tumpah pada kita saja, tapi turut terkena dengan kesihatan ibu ayah, adik-adik, kebaikan suami, solehnya anak-anak. Lihatlah dengan akal sihat, akan nampaklah berganda-gandanya yang Allah beri. Allah kata,

“Mereka itu diberi pahala dua kali lipat disebabkan kesabaran mereka dan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan dan sebagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka, mereka nafkahkan”  [28:54]

Kita mampu bersabar, kalau kita terus berharap pada Allah. Mengharap balasan hanya dari Allah. Bertahanlah dengan berpaut erat pada rahmat dan kebaikan Allah. InsyaAllah, tidak tidak akan terjatuh jika Dia-lah tempat bertahan. Sabar itu tidak pernah ada batas jika kita benar ikhlas. Dalam bersabar pun kita perlukan kesabaran. Jangan berhenti meminta supaya Allah bantu kita mempertahankan kesebaran.”

Sara berpaling, memandang redup wajah Hajar, sahabat yang sangat dikasihi. Dia dapat melihat ada air jernih menuruni perlahan pipi Hajar.

“Astagfirullah… ampunkan Hajar, Allah.” Sayup.

****

Inilah yang selalu terjadi dalam hari-hari kita. Kerana terlalu berharap pada balasan kebaikan, kadang-kadang kita terlepas pandang pada kelemahan yang dinamakan ‘manusia’. Kita mahu kalau boleh, bila kita buat baik, yang menerima kebaikan akan membalas dengan kebaikan yang serupa. Bila saja kita tidak menerima balasan yang setimpal, kita mula rasa dikhianati, tidak dhargai, kurang disayangi.

Kita ini, manusia. Kurang lebih antara kita sepatutnya sudah maklum. Apakah kita mahu mengharapkan lebih daripada manusia lain yang kelemahannya lebih kurang sahaja dengan diri kita? Tidakkah kita mahukan balasan Allah yang tiada banding taranya?

Sukar sebenarnya mendidik hati mengaplikasi pelajaran yang satu ini, yakni menerima kurang lebih antara manusia dengan lapang dada. Namun sukar tidak bermakna ia sukar dilakukan. Kita boleh. Cuma mahu atau tidak saja.

Selalulah luangkan masa dengan hati. Ajak hati berbual-bual, fahami ia, didik ia perlahan-lahan menurut kemanisan ibadah bersulam iman. Hati ini fitrahnya kebaikan. Hanya kerana dosa-dosa yang terpalit, ia jadi keras dan hitam. Berusahalah membersihkan. Pohonlah kekuatan dari Yang Maha Perkasa, insyaAllah berjaya.

Semoga Allah redha.