Diusap Sentuhan Tarbiyyah

Tangga-tangga ke syurga perlu didaki dengan mujahadah, bukan keluh kesah!


Leave a comment

Street Dakwah 21 Disember: Catatan Ringkas

Ramai benar pengunjung kotaraya pada hari itu. Pening kepala Sara melihat kelibat manusia yang lalu-lalang.

“Entah apa yang dikejar mereka ini”

Getus hati Sara. Sudah 2 jam dia di situ. Menegur pengunjung kotaraya yang lalu-lalang, mengajak mereka berbual-bual sekitar soal nabi dan agama.

Hello, good morning Madam.” Sapa Sara. Wanita berusia itu teragak-agak mahu berhenti. Sara mengikuti langkahnya. Lambat-lambat sambil dirinya tak putus mempamer wajah manis.

May I take your time for a simple survey, madam?” Sara memberhentikan langkah. Dia berdiri sedikit ke depan daripada wanita tersebut. Sara dapat melihat jelas rantai salib wanita yang berdiri menghadapnya.

Kristian.” Bisik Sara dalam hati.

What survey are you conducting?” Soal wanita itu.

Oh, we are conducting a simple survey on the awareness of our non Muslim friend about Jesus Christ in the holy Quran.”

“Bagus pulak Bahasa Inggeris aku hari ni”, detik Sara dalam hati.

Memang benar, acapkali pada saat memerlukan, bahasa yang kurang dikuasainya itu tiba-tiba jadi fasih di bibirnya. Apatah lagi bahasa Inggeris yang memang kurang gemar digunakan. Sering apabila diberi pilihan, bahasa inggeris akan jadi pilihan terakhir Sara. Boleh jadi kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa ketiga baginya, dan boleh jadi juga kerana bahasa tersebut tidak dapat sepenuhnya mengungkapkan pemikirannya, tidak dekat di hati.

“Pertolongan Allah, alhamdulillah.” Fikir Sara.

I see…” Jawab wanita di hadapan Sara, panjang bunyi jawapannya.

So, Jesus Christ really mentioned in the Quran?” Berkerut kening wanita tersebut.

Yes, mam. But then before I explain further, may I speak in bahasa Melayu? Since I converse better in my mother tongue. And what can I call you,mam?”

Yes, yes. Boleh! Doris. I named Doris.” Dia mengangguk berkali-kali.

“Ah, lega.” Keluh Sara dalam hati.

“Baik, Puan Doris. Jesus (peace be upon him) memang ada disebut dalam al-Quran sebagai Isa. Di dalam al-Quran, Jesus adalah salah seorang daripada utusan Allah yang membawa ajaran untuk menyembah Allah, tuhan yang satu.”

“Kenapa dalam Bible disebut Jesus, di dalam al-Quran disebut Isa?” Berkerut kening wanita tersebut.

“Bagaimana dengan Ibrahim dalam al-Quran yang disebut Abraham dalam Bible, Yaakub sebagai Jacob dan Yahya sebagai John?” Soal Sara. Dia masih senyum.

“Oh, jadi ini soal penterjemahanlah…” Tangannya menepuk lengan Sara.  Sara mengangguk.

“Ya, Isa dan Jesus kedua-duanya adalah orang yang sama. Jesus adalah nabi dan rasul Allah yang diutuskan untuk menyambung ajaran Moses kepada kaum Bani Israel. Jesus adalah antara 25 orang rasul yang wajib diimani oleh orang Islam. Sebagai Muslim yang beriman, Jesus juga perlu dikasihi sebagaimana nabi-nabi dan rasul yang lain.”

Oh, so you Muslim also love Jesus kah?” Terkejut puan Doris sebaik sahaja Sara menghabiskan ayatnya yang terakhir. Besar bola matanya memandang Sara. Menunggu jawapan kepastian dari anak muda di hadapannya.

“Yes, we love Jesus (peace be upon him) as he is one of the prophet.” Garis senyum yang timbul di sisi kedua belah mata Sara membuatkan matanya nampak sepet.

Puan Doris mengurut-ngurut dadanya. Sekejap-sekejap dia menyentuh dagu. Memikirkan sesuatu.

Sara sesekali menoleh ke arah pintu laluan BB Plaza. Ada beberapa anak muda yang berdiri di situ, memerhati sejak dari awal perbualannya dengan wanita tersebut. Pengawal berseragam biru turut beberapa kali mundar-mandir di hadapannya. Sara tahu, pihak pusat beli-belah tidak suka jika aktiviti dakwah begini dibuat di ‘kawasan’ mereka. Malah baru sahaja beberapa minit sebelum dia menyapa wanita itu, sekumpulan sahabatnya disuruh pergi jauh sedikit daripada kawasan pusat beli-belah tersebut. Perkara begini biasa. Bukan setakat pusat beli-belah, orang-orang persendirian yang mendakwa ‘ini tempat saya’ juga berbuat tindakan sama. Memang inilah antara cabaran Street Dakwah.

“Dalam Bible, Jesus adalah jelmaan Tuhan Bapa. Bukan nabi.” Sara mengangguk perlahan. Wajah anak muda yang tetap tenang dipandang wanita tersebut. Lama.

“Jesus tidak pernah mengaku dirinya Tuhan, puan. Di dalam al-Quran, ada satu surah dipanggil al-Maidah. Dalam ayat ke 116, Allah bertanya pada Jesus,

“Wahai Isa Ibn Maryam, engkaukah yang berkata kepada manusia: jadikanlah aku dan ibuku dua tuhan selain Allah?” Jesus menjawab, Maha suci Allah, tidak mungkin aku akan mengatakan sesuatu yang tidak berhak aku katakan…”

Saya tidak pasti jika di dalam Bible ada menyebut pengakuan Jesus sebagai tuhan. Baiklah puan semak dan bandingkan kedua-dua sumber antara Bible dan al-Quran untuk mengesahkan kenyataan saya.”

Sara memang tidak berapa ingat bait-bait Bible. Ada pun yang dia ingat, adalah beberapa yang berkaitan dengan Nabi Muhammad s.aw. Lebih dari itu, dia perlukan lebih banyak masa untuk selalu menyemak catat isi kandungan penting kitab tersebut jika mahu digunakan dalam dialog. Mujurlah, surah al-Maidah:116 itu dia masih ingat. Rahsianya, dia baru menelaah beberapa poin penting yang mungkin perlu untuk dakwah hari ini. Surah tersebut disebut beberapa kali dalam sumber rujukan yang digunakannya. Alhamdulillah, kurniaan ingatan yang baik ini dari Allah.

Berubah rona wajah wanita tersebut sebaik Sara membacakan terjemahan sebahagian ayat 116 surah al-Maidah. Dia menyentuh salib yang tergantung pada rantai halus di lehernya. Sara sekadar senyum. Dia tidak mengerti.

“Saya rasa, cukup setakat ini sahaja perbualan kita. To continue this discussion further, I’m afraid it will shaken my faith.”

Sara terkejut. Pertama kali dia mendengar jawapan jujur begini dari seorang penganut Kristian.

Do you need me to send a copy of al-Quran to your for reading? You might want to check on few things we discussed earlier.”

“No, no. Thank you so much. I will check on myself.”

“Okay. But it’s really nice to talk to you. I hope we can meet again in the future, by god’s will.” Sara menghulur tangan. Puan Doris menyambut mesra.

“Mudah-mudahan Allah memberimu hidayahNya,” Bisik Sara. Dalam hati.


Leave a comment

Street Dakwah: Perbualan dengan pemuda Cina

6 Muharram.

Pagi biasa. Matahari masih terbit dari sebelah sama. Yang luar biasa ialah pada pengisian hari ini. Sejak sahabat akrab saya pulang ke negeri kelahiran, sengaja hujung minggu diisi dengan lebih banyak kuliah-kuliah ilmu sekitar Kuala Lumpur. Saya belum biasa sahabat akrab saya ini jauh dari saya, maka saya sibukkan diri supaya tidak terlalu ingat padanya. Ketegangan menghadap tugasan akademik juga saya kira perlu dilempiaskan. Dan baiklah jika ketegangan itu dilempiaskan benar pada tempatnya – yang ada redha Ilahi.

Beberapa hari lepas ke Setiawangsa, hadir ceramah umum ajaran Syiah dilanjutkan dengan kehadiran Dr Zakir Naik ke Putrajaya. Syukur Alhamdulillah, minggu ini sempat saya berkenalan dengan teman-teman yang begitu cintakan majlis ilmu. Malahan, kelompok teman baru saya ini ghairah benar bila berbincang hal-hal akidah dan masalah umat. Masing-masing berlumba-lumba berkongsi ilmu dan hikmah. Nyatalah, ilmu yang bermanfaat ialah apabila disampaikan, akan lebih mendekatkan kita pada Allah.

Lalu minggu ini, kami turut serta ke program Street Dakwah (SD)  anjuran Maaruf Club UIAM. Tiada siapa antara kami yang pernah tahu tentang SD. Apa pengisiannya, bagaimana programnya akan dikendali, siapa yang mengendali dan apa mungkin cabaran yang bakal dihadapi, semua ini di luar jangkaan dan pengetahuan kami. Demi keinginan untuk ber-SD, soal-soal ini kami ketepikan. Lagi pula, itu cuma sangka-sangka kami bertiga. Sebelum keluar SD, kami tekuni beberapa konsep dan pendekatan dakwah yang sesuai dengan mad’u sasaran. Kami mahu mendekati non-Muslim, dengan hajat mahu membersihkan salah faham terhadap Islam dan menyampaikan Islam sebagai agama yang benar. Rujukan-rujukan berpotensi kami kumpulkan dan setiap seorang menyampaikan ulasan berkait soal jawab yang sering ditanya tentang Islam. Ah, enak sekali diskusi-diskusi begini. Saya anggap ini usrah mini yang dikendali secara khusus untuk berdakwah.

Maka dengan lafaz bismillah, kami mulakan langkah pertama dengan niat kerana Allah.

Kisah ringkas di bawah ini merupakan sedikit rakaman perbualan antara saya dan seorang pemuda berbangsa Cina dari Tanah Besar China.

 ***********

Tuhan tidak adil?

“Tuan percayakan Tuhan?”

Dia ketawa. Risalah jualan yang dipegang dilipat-lipat. Seperti dirinya sedang jauh memikirkan apa dan bagaimana soalan ini harus ditanggap.

Separuh merenung lalu lintas, dia menjawab, “Ya, saya percaya tuhan ada, tetapi saya tetap tidak percaya pada tuhan”.

“Mengapa?” Dalam hati, tidak berhenti saya mengumam selawat dan salam kepada rasul junjungan, memohon agar Allah melancarkan bicara dan dikuatkan hati menempuh apa sahaja soalan kemungkinan.

“Baiklah, kita sama-sama setuju bahawa tuhan itu ada dan dialah yang menciptakan kita. Saya tiada masalah tentang hal ini. Yang mengecewakan saya, jika tuhan itu adil, kenapa manusia dilahirkandalam agama berbeza? Pernahkah kita ini diberi pilihan untuk dilahirkan dalam keluarga yang bagaimana, memilih siapa ibu dan ayah kita?”

Saya diam. Dia juga sama. Saya jujurnya belum punya jawapan baik untuk diberikan padanya saat itu, Dari awal pertemuan, saya belum pasti, apakah agama yang dianuti pemuda ini. Sekadar bersangka-sangka, mungkin saja dia buddhis memandangkan dia berbangsa cina. Saya cuma meneka.

“Tidak cukupkah akal yang dibekalkan Allah ini sebagai bukti keadilan bagi tuan? Jika Allah menzalimi manusia dalam hal keadilan, mengapa masih diberi akal sebagai alat penilaian ketika membuat pilihan?”

Dia mengangguk. Anggukannya tidak sesekali bermakna dia setuju. Sengaja saya gunakan nama Allah sebagai rujukan khusus kepada tuhan dalam perbualan kami.

“Ya, tuhan, Allah, atau apa sahaja namanya, menciptakan manusia dengan akal. Pakej ini lengkap untuk menjalani kehidupan.”

Saya separuh senyum sambil mempamer mimik berminat pada hujahnya. Saya senyum kerana sebutan ‘Allah’ kedengaran agak janggal bila diujarkan oleh seorang penutur Mandarin Tanah Besar.

“Mahukah saudari menerima pandangan saya ini jika saya katakan bahawa sebaik sahaja Allah mencipta manusia beserta akal ini, diberi nyawa dan sebagainya, Dia ‘melepaskan’ kita ke dunia ini sewenang-wenangnya?”

Tepat dia memandang anak mata saya. Beberapa saat sehingga saya alihkan pandangan kepada orang awam yang lalu-lalang.

“Di mana-mana bahagian dunia ini manusia ‘dilepaskan’, di situlah kita akan memulakan kehidupan. Yang memandu kita ketika di dunia bukan lagi tuhan. Tetapi diri kita sendiri. Dengan kudrat dan keinginan kita sendiri. Dengan alat yang saudari sebut tadi. Akal inilah. Akal ini.”

Berkali-kali jari telunjuknya diacukan pada bucu kiri dahi. Memberi penegasan soal peranan akal dalam diri manusia inilah yang memandu kehidupan di muka bumi, bukan tuhan.

“Begitukah? Saya kurang faham.” Saya pamerkan minat pada pandangannya.

Mengatakan ‘kurang faham, ‘keliru’ atau menunjukkan minat pada pandangan tidak bermakna saya setuju atau mengiakan pendapatnya, namun ia lebih kepada pendekatan mengajak kepada perbualan yang lebih panjang dan mendalam. Pada hemat saya, penting bagi seorang pendakwah menunjukkan minat pada pandangan mad’u. Selain menjadi kayu ukur kepada peribadi, kefahaman dan pola fikir mad’u, ia satu tanda meraikan pandangan yang diberikan. Inilah penghargaan kecil yang besar kesannya dari sudut psikologi kebahasaan.

“Salahkah jika saya katakan, saudari berada di sini hari ini kerana kehendak saudari sendiri? Saudari gunakan akal saudari untuk mengarahkan agar kaki, tangan, badan, diri saudari untuk berada di sini, saudari berusaha ke sini, dengan tenaga saudari sendiri. Begitulah maksud saya. Kita yang mengendali diri kita, hidup kita. Allah yang saudari sebutkan tadi tidak buat apa-apa. Dia lepas tangan.”

Maha Suci Allah daripada apa yang dikatakannya.

“Begitukah?” Saya menduga. Sambil di dalam minda, merancang jawapan beserta susun atur ayat.

“Ya.” Nadanya sedikit tinggi daripada sebelumnya, yakin.

“Kalau begitu baiklah saya pulang nanti cuba mengarahkan anggota saya seperti yang tuan sebut.”

“Sekarang juga boleh dibuktikan, lihat bagaimana saya mengawal tangan saya supaya diangkat, diturun, digoyang kanan kiri!” Gembira sekali dia memberi demonstrasi kawalan tangannya.

“Jadi manusia berupaya mengawal fungsi dan gerak laku tubuh badan? Proses saraf-saraf otak yang berhubung sewaktu tuan hendak mengangkat tangan, sedang mengangkat dan kemudian menjatuhkannya dikawal tuan sendiri, begitu? Jantung yang berdenyut setiap saat, hatta sewaktu kita tidur juga? Bolehkah tuan kawal otot mata tuan supaya tidak berkelip sepanjang saya ada di sini? Atau menghentikan terus jantung daripada berdenyut sekarang? Jika benar, ajarlah pada saya supaya denyutannya boleh saya hentikan sepanjang tidur dan berdenyut semula bila saya bangkit esoknya.”

“Errr….” Pemuda menggosok perlahan pahanya.

***Ini akan jadi sesi perkongsian panjang yang menarik, saya fikir. Menariknya kerana saya mula belajar memahami corak fikir orang lain. Yang kurang menariknya, saya lebih banyak mendengar dan bertanya daripada memberi jawapan. Soalan keadilan tuhan ini  berlalu begitu sahaja kerana tidak mampu saya selesaikan.

Menghidupkan kehidupan

“Sepertinya menurut tuan, hidup kita di sini hanya secara kebetulan. Sewenangnya-wenang bernafas dan mati di bumi Allah, begitu?”

“Benar. Begitu menurut saya. Dan itulah tujuan wujud kita. kita cuma perlu hidup. Pernah saudari dengar tentang ‘live life’?”

Dia mengejanya dalam sebutan pelat Cina yang begitu pekat. Saya mengangguk.

“Itulah tujuan kita di sini, untuk menghidupkan kehidupan atau melalui kehidupan. Hiduplah selagi kita bernafas, bernyawa. Kita menghidupkan melalui aktiviti harian kita ini. Saya, saudari sendiri, mereka semua di seberang jalan sana dan di mana-mana bahagian di bumi ini melakukannya. Kita makan, minum, tidur dan sebagainya untuk menghidupkan life. Jika sudah tiba masa untuk kita dijemput tuhan, kita akan mati. Mati bermakna hidup yang perlu kita hidupkan tadi sudah tidak perlu.”

“Mahukah saya beritahu tujuan hidup menurut saya?” Dia ketawa. Beberapa orang yang lalu lalang menoleh ke arah saya dan pemuda.

“sila,” pintanya.

“Sebagai hamba Allah, saya percaya bahawa tujuan kehidupan ini adalah untuk beribadah kepadaNya. Ini disebutkan dalam al-Quran, kitab pegangan orang Islam, bahawa Allah berfirman tentang penciptaan jin dan manusia itu tidak lain hanya untuk beribadat padaNya.”

“Jadi saudari tidak sependapat dengan saya dalam soal kehidupan yang saya katakan tadi?” Saya menggeleng-geleng perlahan. Dia mahukan sudut pandang saya, ujar hati.

“Saya setuju pada sebahagiannya, tidak pada poin-poin yang lebihnya.” Mungkin menarik baginya apa yang bakal saya katakan, dia memusingkan sedikit badannya agar menghadap saya.

“Saya setuju jika dikatakan bahawa hidup kita ini untuk menghidupkan kehidupan yang Allah beri. Berbalik pada pandangan saya, iaitu hidup manusia ini adalah semata-mata untuk beribadah pada Allah, saya melihat bentuk kehidupan ini bukanlah dilalui secara sewenang-wenang. Sewenang-wenang bererti kita melalui hari-hari dalam kehidupan tanpa tujuan sedangkan tuan sendiri kata tujuan hidup adalah untuk menghidupkan kehidupan.

Bangun dari tidur, makan, minum, berpakaian, keluar bekerja, belajar, bersahabat, berumah tangga atau apa sahaja aktiviti hari-hari, itulah keadaan manusia menghidupkan kehidupan menurut tuan. Namun itu cuma aktiviti untuk memenuhi keperluan hidup. Belum lagi mencapai tujuan hidup. Oleh itu, berpandukan al-Quran, Allah menyeru agar segala aktiviti-aktiviti kehidupan ini manusia pusatkan kerana Allah, dinisbahkan dengan niat beribadah kepada Allah. Di situlah saya melihat tujuan hidup.

Jika tujuan hidup hanya dilihat pada menghidupkan kehidupan atau dalam contoh ringkas untuk makan, minum dan tidur, apakah pula tujuan untuk makan, minum dan tidur ini?”

“Untuk hidup pada hari keesokannya seperti hari semalam.” Ringkas jawapannya. Logik sebagai sokongan pendapat awal pemuda ini, fikir saya.

“Dan akhirnya bila sampai masa mati, manusia mati begitu saja? Apa pula tujuan mati?” Berkerut keningnya memandang saya, mempersila jawapan melalui gerak tangan seakan menjemput. Saya faham, dia mahu saya saja yang memberi jawapan.

“ Untuk Allah. Untuk beribadah pada Allah. Segala bentuk aktiviti yang tuan sebutkan tadi, adalah untuk memenuhi tujuan beribadah kepada Allah. Dan tujuan mati, agar kita dapat bertemu Allah, memulakan kehidupan baru di syurga yang dijanjikan bagi orang-orang yang sabar dan beriman.”

***Saya usahakan sebaiknya menyusun ayat yang boleh difahami dan boleh menggambarkan pandangan saya dengan tepat. Tidak mudah bagi saya untuk menerangkan pandangan dalam bahasa Mandarin. Penjelasan saya kerap kali terganggu apabila saya mencari-cari perkataan yang tepat. Setiap kali itu juga, dialah juga yang terpaksa bertindak menjadi penasihat bahasa bagi saya. Sama halnya ketika dia memberi pandangan, beberapa kali saya minta dihentikan seketika agar saya boleh tanyakan maksud beberapa perkataan yang digunakan. Itu kelemahan saya.

Walaupun bahasa Mandarin bahasa kedua saya, masih bahasa Melayu jugalah yang mampu menjadi medium penyampai buah fikir saya secara objektif, tidak tersasar daripada maksud sebenar yang mahu saya sampaikan. Masalahnya, pemuda ini hamba Allah dari China yang meninggalkan keluarga dan berhijrah ke Malaysia. Malah Mandarinnya masih begitu pekat walaupun sesekali saya dapat menangkap usahanya untuk meminimakan sebutan perkataan kepada Mandarin versi Malaysia.

Mengapa beribadah kepada Allah?

Saya kiranya mahu menghentikan pandangan saya setakat itu dan menanyakan soalan-soalan lain padanya. Rupanya, pandangan yang saya utarakan itu berhenti cuma sekejap, memberi laluan untuk saya dan dia minum sedikit air kerana perbualan yang panjang. Mungkin masa ‘rehat’ itu digunakan oleh pemuda untuk berdialog dengan dirinya, menimbang-nimbang pandangan saya tentang soal kehidupan. Mungkin juga timbangan itulah yang menyebabkan dia bertanya,

“Mengapa perlu beribadah kepada Allah?” Saya tidak terus menjawab. Penutup botol saya sarungkan pada mulut botol, dipusing perlahan sambil dalam hati saya memohon Allah terus memberi panduan.

“Jika saudari kata makan, minum, tidur dan aktiviti lain itu sebagai cara untuk mencapai tujuan beribadah kepada Allah, apa pula tujuan beribadah pada Allah? Jika menurut saudari, pandangan saya tentang menghidupkan kehidupan melalui makan, minum, tidur itu belum lagi mencapai tujuan hidup, maka dengan memberi jawapan beribadah kepada Allah itu juga belum mencapai tujuan hidup bagi saya.”

Saya menganggap itu huraian daripada soalan asalnya. Boleh jadi, dia menafsirkan saya kurang jelas dengan soalannya.

“Bismillah,” dalam hati.

“Awal tadi semasa saya tanyakan tentang tuhan, tuan kata, tuhan itu ada walaupun tuan tidak percayakan tuhan kerana ketidakadilanNya. Tuan juga kata bahawa tuhanlah yang menciptakan manusia beserta dengan alat – alat lengkap sebelum ‘dilepaskan’ di dunia.”

“Ya. Memang begitulah maksud saya.”

“Kalau begitu, sebagai tuhan yang menciptakan manusia, apakah hak mutlak tuhan?”

Dia mengangkat bahu.

“Sebagai yang menciptakan, terpulanglah pada tuhan mahu meletakkan peraturan yang bagaimana. Seperti mana pereka telefon saya ini, dialah yang meletakkan manual penggunaan telefon ini, menentukan bentuknya, berapa warna untuk setiap rekaan dan aplikasi yang dimuat ke dalamnya. Seperti juga pendapat tuan awal tadi, tuhan yang menciptakan tidak memberi kita pilihan untuk memilih ibu bapa, lahir di mana, keluarga yang bahagia atau tidak dan sebagai penganut agama apa. Kerana Dialah pencipta manusia, maka dengan sifat pencipta itulah Dia menetapkannya begitu. Seperti mana telefon ini tidak diberi pilihan, manusia tidak juga diberi pilihan dalam hal-hal menentukan keadaan dirinya yang dicipta.”

“Jadi, saudari maksudkan, beribadah kepada Allah itu tujuan hidup yang sudah Allah tetapkan untuk ciptaanNya?”

“Ya.”

***Sayangnya, soal jawab berkait tujuan hidup ini berhenti begini sahaja tanpa saya perkenalkan kepadanya siapa Allah sebagai tuhan Yang Maha Esa. Malah, jawapan isu ketidakadilan juga masih dibiar tergantung begitu saja. Saya mengakui kelemahan diri yang belum berupaya untuk menghala perbualan kepada memperkenalkan Islam.

Muslim menyayangi Jesus Christ?

“Adakah tuan tahu bahawa seseorang Muslim menyayangi Jesus Christ?”

Riak wajah pemuda ini berubah. Jelas sekali di wajahnya kekeliruan  yang mengkehendaki jawapan. Saya sudah menyusun ayat, bersedia menjawab soalan seterusnya. Teragak-agak dia membalas.

“Betulkah?” Saya mengangguk.

Bagaimana dua nabi daripada agama yang berbeza…” Dia memperlahankan nada, jari telunjuknya ke kanan kiri seperti sedang mengira-ngira sesuatu.

“Jesus dan Muhammad adalah teman seperjuangan. Mereka ibarat dua orang pelajar dari sekolah yang sama.” Saya memberi balas tanpa menunggu dia menghabiskan ayat.

“Mana mungkin begitu. Saudari seolah-olah menganggap Kristian dan Islam adalah agama yang sama. Jika Jesus dan Muhammad saudari katakan sebagai teman seperjuangan, rakan sekolah yang sama, adakah sama sekolah Kristian dan sekolah Islam? Saya keliru.

Apakah saudari tahu tentang betapa agama Kristian itu sebuah agama yang mengelirukan? Apakah saudari tahu ajaran gereja Kristian banyak bercanggah dengan apa yang tertulis di dalam Bible?

Saya tidak pernah percaya pada agama ini. Saya tidak pasti siapa yang berdusta dalam beragama dalam agama Kristian, sama ada Bible atau gereja, saya tidak tahu.”

“Kita abaikan dulu soal ajaran Kristian yang mengelirukan tuan. Kembali kepada hubungan Jesus dan Muhammad, saya akan jelaskan pada tuan.” Dia setuju. Sesekali saya toleh dua orang sahabat yang sudah berganti mad’u. Sedang saya, masih bersama pemuda ini sejak mula sampai di kawasan Bukit Bintang.

“Saya katakan kedua-duanya rakan seperjuangan sekolah yang sama kerana mereka memang dari sekolah yang sama, bukan sekolah berlainan seperti yang tuan sebutkan. Dalam Islam, Jesus merupakan salah seorang daripada 25 utusan Allah di muka bumi. Kesemuanya 25 orang utusan ini wajib dipercayai dan disayangi. Nama Jesus mula dikesan dalam Bible berbahasa Yunani. Jesus dikenali dengan nama lain dalam terjemahan Bible yang lain mengikut bahasa daerah atau sebutan masyarakat di tempat versi Bible itu digunakan. Jesus dikenali sebagai Isa dalam al-Quran, kitab panduan orang Islam yang menggunakan bahasa Arab. Hakikatnya, Jesus yang disebut dalam Bible itu sama dengan Isa ibn Maryam di dalam al-Quran. Ada pun perbezaan kisah atau peribadi Jesus yang berbeza dengan Isa, ia merupakan penyelewengan pada Bible. ”

Jauh di sudut hati, saya harap penjelasan ini difahami. Percampuran bahasa Mandarin – Inggeris dalam soal Jesus ini saya khuatiri menjejaskan kefahamannya.

“Apakah benar kedua-duanya dari sekolah yang sama?” Yang bagusnya, dia masih mengekalkan perumpamaan ‘rakan sekolah’ yang saya bawakan ini. Mudah untuk dirinya memahami, mungkin. Di pihak saya, ia memudahkan penyampaian.

“Benar. Sekolah yang sama, misi dan visi, ikrar, lagu, peraturan malah pengetua sekolah juga sama. Seperti saya beritahu tadi, Jesus dan Muhammad kedua-duanya utusan Allah di bumi ini. Misinya sama, untuk mengajak manusia beribadah kepada Allah, inilah tujuan hidup yang kita bincang tadi, melalui peraturan yang sama, cara beribadah yang sama dan pengetua Jesus dan Muhammad juga sama, iaitu Allah tuhan yang Esa.”

Dia mengangguk-angguk sepanjang saya memberi penjelasan. Menurutnya, tidak pernah dia mendengar tentang perkara ini sebelum bertemu saya. Dia turut menceritakan kekagumannya kepada keperibadian Nabi Muhammad saw yang bijak mengendali dan menyelesaikan masalah umat Islam ketika Baginda masih hidup.

*************

Begitulah sedikit sedutan perbualan yang sempat saya ingat catat sepanjang SD. Dapatan penting daripada SD ini tidak sekadar beberapa persoalan yang dibincangkan di atas. Pelajaran daripada SD ini banyak. Antara yang menjadi bahan tarbiyah untuk diri saya ialah,

  1. Teruskanlah kerja dakwah ini. Ada ramai non-Muslim di luar sana yang dahagakan jawapan. Mereka tertanya-tanya tentang Islam. Keraguan dan persoalan yang dipendam itulah yang menimbulkan salah faham yang besar terhadap Islam. Kalaupun perkongsian kita tidak berjaya membuka hati mereka kepada Islam, sekurang-kurangnya, persoalan yang diberikan jawapan dan penjelasan yang baik akan dapat membersihkan imej Islam pada pandangan non-Muslim. Ingat, tugas kita cuma menyampaikan, sedang hidayah tetap milik Allah.
  2. Baiki peribadi dalam usaha mempersembahkan ajaran Islam yang menekankan kebaikan. Akhlak, adab dan bahasa, ketiga-tiganya saling berkait dalam membentuk peribadi  hasanah. Berusahalah sedikit demi sedikit dan istiqamah.
  3. Pernah satu tahap saya meragukan keperluan bahasa Mandarin ini sebagai satu nilai tambah pada diri saya. Hari ini, Allah seakan-akan memberitahu saya bahawa aturanNya tidak sia-sia. Bahasa Mandarin yang saya anggap tidak banyak fungsi, hari ini, menjadi medium untuk berdakwah. Allah-lah yang memudahkan pembelajaran saya semasa di SJK(C) dulu, dan inilah hikmahnya!
  4. Niatkan semua perkara kerana Allah. Jika niat kita tulus, insyaAllah kita akan tetap berada dijalan yang lurus!